am@hmetro.com.my
Ini terbukti apabila sekumpulan warga Myanmar berusia setahun hingga 40 tahun ditahan polis ketika bersembunyi dalam kawasan belukar di belakang rumah penduduk di Kampung Sungai Kelian, Mukim Sungai Laka, Changlun, dekat sini, baru-baru ini.
Sebelum itu, 22 warga Myanmar ditahan dalam pemeriksaan di Kilometer 24, Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), arah selatan, pada 24 Februari lalu ketika menaiki sebuah van persiaran.
Susulan penahanan itu, polis membuat pemeriksaan di kawasan belukar di kampung berkenaan dan menemui khemah kanvas dan pangkin dipercayai dijadikan transit selepas berjaya menyusup masuk dari sempadan berhampiran Bukit Kayu Hitam.
Malah, tinjauan Metroplus turut mendapati kawasan itu dipenuhi sampah sarap dan mempunyai beberapa jalan keluar masuk, tetapi perlu berdepan risiko termasuk terpijak duri dan berhadapan dengan bahaya binatang berbisa mahupun liar.
Sumber berkata, terdapat buaian menggunakan plastik kanvas diikat pada pokok untuk membolehkan warga asing terbabit tidur dan kain lusuh dipercayai digunakan untuk selimut.
Katanya, kawasan belukar yang terletak hanya 200 meter dari jalan kampung itu dipercayai menjadi ‘port’ pendatang tanpa izin berehat sebelum mereka diambil tekong dihantar ke destinasi masing-masing sejak beberapa bulan lalu.
“Pada masa sama, pendatang tanpa izin itu turut memperoleh bekalan makanan yang dihantar sindiket berikutan penemuan plastik minuman serta polisterin makanan yang ditinggalkan bersepah di kawasan itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Ibrahim Mohd Yusof berkata, kawasan berkenaan hanya dijadikan tempat tinggal sementara untuk berehat dan tidur sebelum mereka dibawa menaiki van ke tempat lain untuk mencari pekerjaan.
Beliau berkata, ini berdasarkan siasatan terhadap sekumpulan 16 pendatang tanpa izin yang ditahan ketika sedang menunggu van untuk membawa mereka ke Kulim dan Pulau Pinang bagi mencari peluang pekerjaan, baru-baru ini.
“Kami percaya kumpulan pendatang asing itu masuk melalui kawasan semak berhampiran sebelum berehat di kawasan transit berkenaan,” katanya.
Katanya, semua pendatang asing terbabit didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana tidak memiliki dokumen sah.
No comments:
Post a Comment