SUASANA hening siang hari di sebuah klinik bersalin yang hanya memulakan kegiatannya pada waktu malam akhirnya mencetuskan tanda tanya penduduk sekitar Enugu.
Tanpa mereka sedari, premis berkenaan sebenarnya dijadikan lokasi rahsia bagi ‘menternak’ bayi untuk tujuan komersial.
Kegiatan haram itu hanya terbongkar baru-baru ini selepas polis melakukan serbuan ke atas rangkaian hospital dan klinik yang digelar ‘ladang bayi’ atau ‘kilang bayi’ di Nigeria.
Penemuan mengejutkan itu menurut media tempatan, memaksa pihak berkuasa memandang serius jenayah penyeludupan manusia di negara berkenaan.
Pada Mei lepas pula, seramai 20 remaja perempuan berjaya diselamatkan apabila polis menyerbu sebuah hospital di Enugu, iaitu sebuah bandar besar di tenggara Nigeria.
Banyak pihak tidak menyangka hospital yang sepatutnya menjadi tempat merawat dan menyelamat nyawa manusia itu sebenarnya berkerjasama dengan sindiket penyeludupan manusia terbesar di negara Afrika Barat itu.
Premis dua tingkat yang terletak berhampiran jalan raya di daerah Uwani, Enugu itu bagaimanapun tidak lagi beroperasi selepas rahsia mereka terbongkar.
Penduduk di kejiranan sekitarnya memberitahu akhbar tempatan bahawa mereka sudah lama merasakan sesuatu yang pelik mengenai premis tersebut.
Menurut mereka, hospital itu sunyi sepi pada siang hari seolah-olah tiada sebarang aktiviti dijalankan.
Doktor yang terbabit dengan kegiatan haram itu kini dibicarakan dan dia dilaporkan memancing remaja perempuan hamil anak luar nikah dengan menawarkan khidmat pengguguran.
Remaja-remaja malang itu kemudian dikurung di hospital itu sehingga bersalin di mana mereka dipaksa menyerahkan bayi masing-masing dengan bayaran sekitar AS$170 (RM600).
Menurut agensi kerajaan Nigeria, bayi-bayi tersebut kemudian dijual kepada pembeli pada harga berlipat kali ganda antara AS$2,500 dan AS$3,800 (RM8,988 dan RM13,660) setiap seorang.
Bagaimanapun, kejahatan doktor sakit puan berusia 50-an itu akhirnya terbongkar apabila seorang pembeli wanita ditangkap Perkhidmatan Keselamatan dan Pertahanan Awam Nigeria (NSCDS) ketika cuba menyeludup bayi tersebut ke bandar raya Lagos.
NSCDS menyatakan statistik berkaitan kegiatan ladang bayi itu sukar ditentukan tetapi percaya ia menular di serata Nigeria dan dijalankan oleh sindiket-sindiket profesional.
“Kami percaya kegiatan itu berleluasa dan lebih meluas daripada pengetahuan kami,” kata ketua Agensi Kebangsaan bagi Larangan Penyeludupan Manusia Nigeria (NAPTIP), Ijeoma Okoronkwo
“Operasi ‘ladang bayi’ sudah lama bertapak di Nigeria tanpa kami sedari. Petunjuk pertama yang kami dapat mengenai kegiatan itu ialah pada Disember 2006.
“Ketika itu sebuah pertubuhan bukan kerajaan memberi amaran bahawa bayi-bayi ditukar dengan wang tunai dan kegiatan itu melibatkan banyak hospital,” tambahnya.
Sesetengah mangsa tinggal di hospital itu untuk selama tiga tahun dan dijadikan ‘kilang’ melahirkan anak.
Menurut Okoronkwo, modus operandi jenayah tersebut adalah pelbagai.
Satu cara katanya, adalah dengan menarik remaja perempuan yang mengandung anak luar nikah ke premis itu.
Mangsa-mangsa yang bimbang mereka akan dipinggirkan oleh masyarakat terpengaruh dengan janji manis sindiket tersebut dan akhirnya terpaksa menyerahkan bayi mereka.
Seorang mangsa berusia 18 tahun menceritakan dia dikurung selama seminggu di sebuah klinik di hospital itu sebelum diselamatkan oleh pihak polis.
“Sebaik sahaja saya berada di dalam klinik itu, saya diberi suntikan, saya pengsan dan apabila membuka mata saya sedar bahawa saya telah diperkosa,” kata mangsa yang hamil lima bulan ketika insiden itu berlaku.
Doktor berkenaan turut menampar mangsa apabila dia meminta untuk menelefon keluarganya.
Remaja itu, kemudian diheret ke sebuah bilik yang turut menempatkan 19 lagi mangsa sepertinya.
Menurut mangsa, doktor sama kemudian merogolnya sekali lagi pada keesokan hari.
Seminggu kemudian, polis menyerbu klinik tersebut.
“Apabila menyerbu hospital itu, kami menemui empat wanita yang berada di situ selama tiga tahun untuk ‘menternak’ bayi kerana terpaksa akibat kemiskinan,” kata polis.
Menurut polis, doktor itu mengundang remaja lelaki untuk mengandungkan mangsa-mangsa di premis tersebut.
Beberapa pemerhati berkata, bayi-bayi itu dibeli oleh pihak ketiga dan dibesarkan untuk menjadi buruh kanak-kanak, pelacur atau mangsa penderaan seksual.
Menurut mereka, penyeludupan manusia sukar dibendung kerana jenayah kejam itu amat menguntungkan di mana ia melibatkan pertukaran tunai mencecah berbilion-bilion dolar pada setiap tahun. – AFP
No comments:
Post a Comment