Thursday, March 1, 2012

MAS rugi bersih RM2.52b

MALAYSIA Airlines (MAS) akan memutuskan perancangan untuk mengukuhkan kedudukan kewangannya bagi meningkatkan rizab tunai dan kapasiti dana dalam tempoh 60 hari akan datang serta pada masa sama menangani hutang selain melakukan pilihan pasaran ekuiti.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohammed Rashdan Yusof berkata, ketika ini rizab tunai MAS melebihi RM1 bilion, namun beberapa isu perakaunan menyebabkan paras ekuiti berada dalam keadaan yang perlu diberi tumpuan.

“Kami akan menentu dan menyediakan beberapa perancangan pengukuhan dengan lebih teliti supaya dapat menangani kerugian yang ditanggung MAS.
“Selain itu, Khazanah Nasional dan Tune Air iaitu dua pemegang saham terbesar kumpulan sangat menyokong inisiatif yang akan dilakukan dan syarikat akan mengumumkannya apabila perancangan pembiayaan itu dimuktamadkan,” katanya pada sidang media di Petaling Jaya, semalam.

Beliau berkata, pihaknya juga akan melihat daripada pelbagai aspek termasuk melupuskan perniagaan bukan terasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata, bagi tempoh suku keempat tahun kewangan 31 Disember 2011, MAS mencatatkan kerugian bersih RM1.28 bilion manakala secara keseluruhan merekodkan rugi bersih sebanyak RM2.52 bilion.


Pendapatan kumpulan meningkat dua peratus kepada RM13.90 bilion termasuk peningkatan jumlah penumpang sebanyak 1.3 juta orang kepada 17 juta berbanding tahun sebelumnya manakala perbelanjaan bahan api meningkat kepada RM1.09 bilion bagi tempoh suku keempatnya.

No comments:

Post a Comment