Friday, March 16, 2012

Merdeka Center: Buku NDI 'bukan bahaya'

Sinar Harian
G. MANIMARAN
15 Mac 2012
ndi - umno

SHAH ALAM - Buku panduan terbitan National Democratic Institute for International Affair (NDI), yang didakwa digunakan oleh PKR bagi menerapkan kempen kebencian untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui cara yang tidak demokratik bukan sesuatu yang 'membahayakan keselamatan" sehingga perlu dirisaukan oleh pihak-pihak tertentu.

Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahiam Suffian berkata, buku panduan itu digunakan di kebanyakan negara dan beberapa parti komponen BN juga menggunakannya untuk menghadapi pilihan raya.

"Saya pernah tengok kandungan buku panduan ini. Tidak ada apa-apa yang membahayakan keselamatan, malah ketika memberi ceramah kepada sebuah parti politik BN, saya juga ada melihat buku panduan ini digunakan," kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Katanya, buku panduan itu pada asalnya diterbitkan dalam bahasa Rusia oleh NDI dan kemudian diterjemahkan dalam pelbagai bahasa termasuk Bahasa Melayu.

Dalam kenyataan kepada Sinar Harian semalam, PKR menafikan dakwaan Umno bahawa pihaknya menggunakan buku panduan pilihan raya, agensi asing yang menerapkan 'kempen kebencian' untuk menjatuhkan kerajaan melalui cara tidak demokratik.

Sebaliknya, Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad menegaskan buku panduan yang digunakan oleh parti itu hanya menerangkan cara-cara sebuah jentera parti dan calon yang bertanding menghadapi pilihan raya.

Menurutnya, buku panduan itu tidak mempunyai unsur-unsur negatif seperti didakwa Umno.

Setiausaha Umno Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed mendedahkan penggunaan buku itu bertujuan untuk menerapkan ‘kempen kebencian’ terhadap pemimpin negara dengan membangkitkan isu tidak relevan.

Antara kandungan buku itu, termasuk menyebarkan dakyah bahawa kononnya tiada kebebasan media dan beragama di Malaysia.

Nik Nazmi berkata, Umno tidak seharusnya memandang rendah keupayaan rakyat menilai baik dan buruk tindakan yang dilakukan oleh sesebuah parti.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihaknya memandang serius dan memantau penggunaan buku panduan pilihan raya NDI itu.

Katanya, pemantauan yang dilakukan lebih kepada keselamatan rakyat dan negara.

Ibrahim berkata, kandungan buku panduan NDI yang dimaksudkan boleh dimuat turun dari laman web pertubuhan bukan kerajaan itu.

"Malah kita pun boleh mendapat pelbagai jenis buku panduan pilihan raya dari portal buku atas talian Amazon.com.

"Kandungan buku panduan NDI lebih berstruktur, jadi ia akan diubah mengikut keadaan sesebuah negara, ada perkara yang sesuai untuk sesebuah negara seperti Amerika Syarikat, tidak sesuai di Malaysia, sebab sistem politik berbeza," katanya lagi.

"Bagi saya ia tidak ada apa-apa keistimewaan pun," katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau ada melihat buku panduan yang digunakan oleh PKR, Ibrahim berkata, "tidak."

"Saya tidak pasti," katanya apabila ditanya sama ada kemungkinan PKR telah mengubah suai kandungannya berbanding kandungan asal.

"Bagi saya buku panduan ini sesuatu yang biasa. Tidak perlu KDN pantau kerana ia hanya akan membuang masa dan tenaga, tidak ada yang perlu dirisaukan," kata beliau.

No comments:

Post a Comment