Tuesday, March 13, 2012

SPR kata Nama pengundi meragukan tak boleh digugur tanpa bukti

SH

13 Mac 2012

KOTA KINABALU -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesan 13,000 pengundi yang meragukan di Sabah tetapi tidak boleh menggugurkan nama mereka dalam daftar pemilih kerana ia bertentangan dengan undang-undang, kata Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata mengikut undang-undang, SPR tidak dibenarkan menggugurkan nama pemilih berkenaan melainkan dengan bukti yang kukuh.

Katanya setakat ini tiada mana-mana pihak termasuk waris yang tampil membantu membuat pengesahan mengenai status rekod pemilih terbabit.

"Walaupun kita sudah pamerkan (senarai nama pemilih meragukan itu) dan menghantar CD kepada parti-parti politik, namun kita masih gagal mengesan mereka. Kebanyakan mereka ini adalah golongan warga tua.

"Dalam hal ini, kita bergantung kepada Jabatan Pendaftaran Negara dan semakan Daftar Pemilih oleh Mimos Berhad seperti yang disyorkan oleh Jawatankuasa Pilihan Parlimen bagi Penambahbaikan Pilihan raya untuk tujuan
pembersihan daftar pemilih," katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas merasmikan majlis taklimat kepada pegawai pengurus dan penolong pegawai pengurus sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Abdul Aziz sebelum ini dilaporkan sebagai berkata bahawa SPR akan menggugurkan sebanyak 42,025 nama (termasuk 13,000 di Sabah) yang tersenarai sebagai pemilih berdaftar setelah rekod mereka didapati meragukan.

Mengenai proses pengiraan undi pada pilihan raya akan datang, beliau berkata ia akan hanya dimulakan pada 4 petang bagi kawasan pusat mengundi yang ditutup awal.

Katanya langkah itu penting bagi mengelak kemungkinan keputusan bocor dan orang tertentu menggunakan maklumat yang diperoleh untuk tujuan "perang psikologi atau pemikiran".

"Inilah cabaran baru untuk SPR, kerana dengan adanya rangkaian komunikasi yang pantas seperti Facebook, Twitter dan SMS, semua boleh berkomunikasi dengan siapa sahaja dengan mudah," kata Abdul Aziz.

Pada pilihan raya sebelum ini, kertas undi mula dikira seawal waktu tengah hari di beberapa pusat penjumlahan.

Ditanya sama ada SPR bercadang mengharamkan penggunaan telefon bimbit di pusat penjumlahan undi, Abdul Aziz berkata setakat ini suruhanjaya itu belum berhasrat untuk menguatkuasakan peraturan seumpama itu.

Beliau juga merayu kepada rakyat Sabah yang berumur 21 tahun ke atas untuk mendaftar sebagai pemilih secepat mungkin bagi membolehkan mereka mengundi pada pilihan raya umum yang akan datang.

Daripada 1.2 juta penduduk Sabah yang berumur 21 ke atas dan layak mengundi, 312,070 belum mendaftar.

"Saya nasihatkan mereka supaya mendaftar segera. Masih ada masa lagi kerana Daftar Pemilih hanya diwartakan pada bulan Mei ini," katanya. -- Bernama

No comments:

Post a Comment