19 April 2012
SHAH ALAM – Pemuda Pas mengutuk sekeras-kerasnya tindakan sekumpulan samseng yang bertindak mengacau dan merobohkan khemah kelompok mahasiswa yang berkampung di Dataran Merdeka menuntut pemansuhan Perbadanan Tabung PendidikanTinggi Nasional (PTPTN).
Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, tindakan samseng tersebut berjaya merobohkan khemah walaupun di kawasan terbuka seperti di Dataran Merdeka sebagai satu episod malang dalam iklim sosial negara kita.
“Saya tidak tahu apakah sentimen yang membuatkan samseng itu mengganas. Berkhemah di tempat terbuka pun tidak terlepas dari ancaman keganasan samseng, apatah lagi rakyat di ceruk kampung dan desa yang jauh dari balai polis,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Katanya lagi, tindakan samseng tersebut juga boleh memberi gambaran buruk kepada masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia tidak lagi selamat.
“Himpunan mahasiswa ini adalah aman. Mereka berkhemah dan duduk santai menyuarakan tuntutan mereka kepada awam amnya dan kepada kerajaan khasnya. Kenapa mereka mesti dilayan sedemikian rupa?
“Siapakah yang mengupah samseng ini? Atau mereka mahu menarik lebih ramai lagi mahasiswa berkampung dan berkhemah di Dataran Merdeka itu?” katanya.
Sabtu lalu, sekumpulan 300 mahasiswa berarak di ibu negara menuntut memansuhkan PTPTN dan mahukan pengajian percuma. Sejak hari itu mereka terus berkhemah di lokasi tersebut.
Kelompok mahasiswa ini juga akan terus berkhemah di situ sehingga 28 April iaitu hari Bersih 3.0 Duduk Bantah di lokasi yang sama.
No comments:
Post a Comment