Monday, May 7, 2012

125 peneroka Felda fail injunksi batal dokumen

sinar harian
NOOR AZURA SAHRIL
7 Mei 2012
Mazlan bersama peneroka selepas memfailkan injunksi di Mahkamah Tinggi Seremban, semalam.
Mazlan bersama peneroka selepas memfailkan injunksi di Mahkamah Tinggi Seremban, semalam.
SEREMBAN – Persatuan Anak Peneroka Felda (Anak) memfailkan injunksi di Mahkamah Tinggi Seremban hari ini bagi mewakili 125 peneroka gugusan Bera dan Raja Alias untuk membatalkan semua dokumen proses pembiayaan pinjaman bank pembelian saham Felda Global Ventures Berhad (FGVB) yang akan disenaraikan di Bursa Malaysia.

Injunksi melibatkan dokumen pembiayaan daripada dua buah bank, yang didakwa telah ditandatangani peneroka tanpa borang yang lengkap.

Pengerusi Anak, Mazlan Aliman berkata, tindakan itu diambil kerana dokumen tawaran pinjaman untuk pembelian saham daripada dua bank itu, disediakan dalam bahasa Inggeris dan menyukarkan untuk difahami peneroka.

Katanya, ada peneroka yang menyesal selepas menandatangani borang permohonan apabila mereka mengetahui risiko yang mungkin ditanggung setelah mendapat maklumat sebenar.

Mazlan mendakwa, terdapat juga peneroka yang tidak dibenarkan membawa balik dokumen berkenaan bagi mendapatkan nasihat daripada pihak lain, walaupun didakwa terdapat arahan berbuat demikian dalam surat tanggung kerugian.

Lebih malang, Mazlan berkata, lebih 90 peratus peneroka di seluruh negara telah menandatangani borang tersebut dan khuatir berdepan dengan risiko bankrap sekiranya gagal membayar pinjaman sekiranya berlaku kejatuhan saham FGVH.

“Setiap dokumen harus difahami oleh peneroka. Tawaran ini adalah satu pilihan dan dibuat secara sukarela tapi sekarang jadi wajib," katanya kepada pemberita selepas memfailkan injunksi di Mahkamah Tinggi di sini.

Dalam pada itu katanya, peneroka juga perlu menandatangani surat tanggung kerugian yang didakwa menyebabkan mereka bertanggungjawab sekiranya berlaku kerugian.

“Peliknya kerana kita berniaga memikirkan pasal keuntungan, tetapi di sini memikirkan kerugian.

“Ini menunjukkan pihak bank juga tidak yakin. Saya yakin mereka tidak mahu tanggung risiko jika saham FGVH yang disenaraikan diapungkan,” katanya.

Mazlan berkata, penganalisis ekonomi meramalkan pasaran saham akan terus merudum dalam tempoh enam bulan akan datang menyebabkan peneroka bakal menanggung risikonya.

Dalam pada itu, peguam, Mohd Haris Abdullah yang mewakili peneroka terbabit berkata, peneroka menandatangani borang berkenaan tanpa mengetahui kandungannya berikutan ditulis dalam Bahasa Inggeris dan butiran amaun pinjaman tidak dinyatakan.

"Permohonan injunksi ini akan didengar di mahkamah dalam tempoh dua minggu lagi," katanya.

No comments:

Post a Comment