Ahad, 20 Mei 2012
kosmo
Hanis Zalikha
SHAH ALAM - Kesibukan menulis blog peribadi dan terlibat dalam dunia
seni peragaan bukan penghalang bagi Hanis Zalikha Zainal Rashid, 22,
untuk menggenggam segulung diploma pada majlis Konvokesyen ke-76
Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini semalam.
Malahan gadis jelita yang mempunyai ketinggian 168 sentimeter itu
berjaya merangkul Anugerah Naib Canselor dengan Purata Nilai Gred
Kumulatif (PNGK) 3.9.
Hanis yang memperoleh Diploma Pengurusan Perniagaan berkata, anugerah
tersebut merupakan pencapaian terbaiknya di institusi pengajian tinggi
kerana ia tidak pernah diimpikan sebelum menjejak kaki ke UiTM Segamat,
Johor.
Menurutnya, resipi kejayaannya cukup mudah dengan memberi tumpuan
sepenuhnya di dalam dewan kuliah selain berbincang bersama pensyarah dan
rakan-rakan bagi menyelesaikan sesuatu masalah dan bijak membahagi
masa.
"Semasa di sekolah, saya tidak pernah mendapat gelaran pelajar cemerlang
namun apabila masuk ke UiTM, keputusan peperiksaan saya pada setiap
semester adalah cemerlang," katanya di sini semalam.
Hanis yang terkenal dengan laman blog http://inibelogsaya.blogspot.com juga bercadang mengikuti
pengajian peringkat ijazah sarjana muda pada tahun hadapan selain
membuka perniagaan produk kecantikan selepas tamat pengajian.
Sementara itu, penyanyi dari kumpulan Flava yang pernah memasuki
pertandingan akhir Geng Starz, Ed atau nama sebenarnya, Nasnoor
Zulfadhli Mohd. Nasiruddin, 22, turut menerima Anugerah Naib Canselor.
Dia yang mendapat keputusan cemerlang dengan PNGK 3.78 berpendapat,
gelaran sebagai artis tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan
tumpuan perhatian dalam bidang akademik.

No comments:
Post a Comment