20 Mei 2012
Maimunah hanya terlantar akibat lumpuh sebelah kiri sejak sebulan lalu.
Rosli Omar, 43, dari Kampung Baru Pinang Tunggal berkata, dia buntu memikirkan bagaimana mencari saksi kelahiran iaitu bidan yang menyambut ibunya, Maimunah Maidin sepertimana syarat yang dikenakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Disebabkan susah nak cari saksi kelahiran ibu, permohonan yang sudah diisi separuh jalan, terhenti begitu sahaja,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurut Rosli, dia pernah berulang-alik ke JPN di Sungai Petani dan Alor Setar menguruskan hal itu namun, jawapan yang diterima masih sama, dokumennya tidak lengkap.
Difahamkan sejak kecil, ibunya tidak memiliki identiti pengenalan diri namun, pernah melakukan angkat sumpah mengesahkan status ketika mahu berkahwin dulu.
Bagaimanapun, segala dokumen penting itu hilang dalam simpanan kerana kerap berpindah-randah.
“Apabila ingin mengemukakan semula permohonan, segala bukti kelahiran perlu dicari semula sedangkan ia mustahil untuk ditemui semula.
“Disebabkan tiada kad pengenalan diri, ibu yang berasal dari Kampung Relau, Sungai Bakap tidak mendapat keistimewaan tertentu sebagai warganegara Malaysia, malah rawatan dan kos perubatan mencecah ratusan ringgit.
“Lebih-lebih lagi apabila dia kini terlantar akibat lumpuh sebelah kiri sejak sebulan lalu,” katanya.
Suami Maimunah, Omar Hashim, 68, berkata, sejak kecil bapa saudara pernah berusaha mendapatkan kad pengenalan untuk isterinya namun, tidak sempat berbuat demikian kerana meninggal dunia sebelum selesai urusan berkenaan.
“Bermacam-macam cara kami lakukan dan pernah guna nombor pendaftaran dokumen lama miliknya namun difahamkan nombor pendaftaran itu tidak sah dan Maimunah dikatakan menggunakan identiti milik orang lain,” katanya.
Jurucakap JPN berkata, pemohon atau waris dikehendaki membawa dokumen ke pejabat untuk urusan penerangan dan cara-cara membuat permohonan yang betul bagi menyelesaikan masalah berkenaan.
No comments:
Post a Comment