Saturday, June 16, 2012

Bolehkah Mashitah Ibrahim Jadi Calon Di Baling?


Siapa bakal menjadi calon Umno untuk kerusi Parlimen Baling di Kedah hangat diperkatakan di kawasan tersebut.

Menurut sumber dalaman Umno kawasan tersebut, tiga orang diura-urakan berminat bertanding  dalam pilihan raya akan datang.

Mereka adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mashitah Ibrahim, pengerusi Putera Umno, Abdul Azeez Abdul Rahim dan wakil DUN Bayu, Che Azmi Hussein.

Azeez adalah ketua Umno bahagian Baling manakala Dr Mashitah adalah ketua wanita Umno Baling.
Azeez pernah bertanding dalam dalam pilihan raya umum lalu tetapi kalah kepada PAS.

Manakala Dr Mashitah menang kerusi tersebut pada 2004 tetapi tidak terpilih pada 2008 untuk memberi laluan kepada Azeez.

Dr Mashitah bersedia

Dr Mashitah disebut sebagai lebih berpeluang bertanding kerana pernah menang pada 2004.

Ketika dihubungi Dr Mashitah berkata: “Saya anggap ia satu anugerah jika diberi peluang bertanding“.

Beliau bagaimanapun, tidak menafikan mahupun mengiyakan ura – ura di Baling namun berkata mempunyai peluang lebih baik berbanding dengan calon Umno lain.

“Para pengundi mahukan calon berlatarbelakangkan agama. Agak susah sekiranya tiada latar belakang tersebut untuk berdepan calon pembangkang,” kata beliau yang mempunyai ijazah doktor falsafah dalam bidang tafsir dan hadis.

Beliau juga mendakwa mempunyai kelebihan kerana lebih 50 peratus  dari pengundi adalah wanita dan orang muda.

Azeez enggan komen

Sementara itu, Azeez pula enggan memberi sebarang komen mengenai ura-ura tersebut.

“Saya tidak mahu memberi sebarang pengumuman sebelum penamaan calon.

“Saya hanya mahu bekerja dan memastikan kemenangan BN,” kata Azeez yang berkelulusan sarjana pentadbiran perniagaan dari Universiti Preston, Wyoming, Amerika Syarikat.

Manakala, Che Azmi menolak ura-ura bahawa beliau mahu bertanding di kerusi parlimen Baling.

“Kalau diberi peluang, saya hendak berkhidmat di DUN Bayu lagi. Dalam sepenggal sebagai Adun, apa yang boleh saya buat?”

“Tambahan lagi, kita hilang negeri Kedah dalam tahun tsunami 2008,” kata Che Azmi ketika dihubungi.

ADUN itu turut menambah calon yang dipilih mesti mampu menarik sekurang-kurangnya 30 peratus sokongan berdasarkan ketrampilan sendiri.

Kubu PAS

Parlimen Baling terdiri daripada DUN Bayu, Kupang dan Kuala Ketil.

Di dalam pilihan raya umum ke 12 di dalam tahun 2008, Azeez tewas di tangan penyandang kerusi tersebut Taib Azzamudden dari PAS.

Taib memperoleh 36,074 undi berbanding Azeez mendapat 28,461 undi.

Di dalam pilihan raya umum ke 11 pada 2004 itu pula, Taib kalah di tangan Dr Mashitah dengan majoriti 10,316.

Buat masa ini, PAS menguasai enam kerusi Parlimen termasuk Baling.

Ini diikuti BN 4 ,PKR 3, dan Bebas 2.

PAS juga mengetuai kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah.

Namun analisis terkini menunjukkan Umno masih jauh ketinggalan dari segi ketrampilan calon berbanding calon PAS walau sesiapa sahaja yang akan terpilih nanti.

Kemelut Perhubungan Umno negeri yang amat parah tambah menyukarkan peluang merampas Baling yang semakin selesa dengan kepimpinan ulama.Milo Suam
JALAN PULANG

No comments:

Post a Comment