9 Jun 2012
(Oleh: Aedi Asri)KUALA LUMPUR 9 Jun: Menteri Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin tidak menjawab persoalan berhubung kontrak RM30 juta diterima anaknya, kata Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin.
Beliau mengulas jawapan Raja Nong Chik yang tidak menafikan kontrak kepada Istijuara Sdn Bhd milik anak perempuannya, seperti dilapor portal Malaysiakini hari ini.
Nong Chik dalam jawapannya berkata projek bagi memasang dan menyelenggara kelengkapan latihan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bandar Penawar, Johor itu diberi pada 2006. Manakala kontrak tersebut pula dimeterai pada 2010.
Zuraida berkata, isu utama bukan tahun kontrak itu dimeterai, tetapi wujud konflik kepentingan atas sebab penganugerahan kontrak berkenaan.
“Malah, jawapan Raja Nong Chik menimbulkan banyak persoalan lain. Mengapa kontrak hanya dimeterai pada tahun 2010 sedangkan projek diberi pada tahun 2006?
“Bagaimana jika terdapat masalah dari segi mutu dan prestasi (ketika projek berjalan)?” soalnya lagi yang mengaitkan isu sama dengan National Feedlot Corporation (NFC) yang menerima pinjaman mudah RM250juta sebelum kontrak rasmi dimeterai.
“Justeru kalau kerajaan Umno BN benar-benar telus dan mahu berubah, perkara ini mesti disiasat supaya nama beliau dapat dibersihkan,” katanya ketika dihubungi.
17 Mei lalu, Keadilan Daily melaporkan, Kementerian Belia dan Sukan menganugerahkan kontrak bernilai RM30 juta kepada Istijuara Sdn Bhd bagi projek memasang dan menyelenggara kelengkapan latihan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bandar Penawar, Johor.
Turut dilampir salinan surat tawaran rasmi daripada Kementerian Belia dan Sukan kepada Istijuara bertarikh 24 Ogos 2010. Anak beliau, Raja Farhana Raja Nong Chik adalah salah seorang daripada dua pengarah syarikat itu.
Short URL: http://www.keadilandaily.com
No comments:
Post a Comment