Tuesday, June 5, 2012

Suami tetak kepala isteri

myMetro


KANGAR: Nikmat bulan madu seorang wanita yang baru dua bulan mendirikan rumah tangga menerima dugaan mengerikan apabila mangsa bukan saja ditumbuk di muka, malah ditetak di kepala menggunakan parang tumpul oleh suaminya dipercayai akibat cemburu buta.
Kejadian berlaku jam 11 pagi Khamis lalu ketika mangsa yang juga jurujual berusia 23 tahun tinggal berdua bersama suaminya berusia 24 tahun di rumah keluarga mentuanya, di sini. Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, sebelum kejadian, berlaku pertengkaran antara pasangan suami isteri berkenaan apabila mangsa didakwa mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

Menurutnya, suspek yang bertugas sebagai juruteknik di Sabah dipercayai mengesyaki isterinya berlaku curang sepanjang ketiadaannya di rumah apabila didakwa berkawan dengan seorang lelaki dikenalinya di tempat kerjanya di Arau, dekat sini.


“Selepas memaki mangsa, suspek enggan mendengar penjelasan isterinya yang menafikan dakwaan itu sebelum wanita berkenaan memegang dan menarik tangan suaminya yang mahu keluar dari rumah menyebabkan dia berang.

“Suspek menumbuk muka isterinya beberapa kali dan menendang badan serta kaki wanita itu sebelum cuba keluar melalui pintu dapur. Mangsa yang kesakitan merayu sambil memegang kaki suaminya supaya mendengar penjelasan daripadanya terlebih dulu.


“Namun, suspek menumbuk muka isterinya sekali lagi sebelum mangsa yang menangis kesakitan merayu supaya tidak dipukul lagi. Suspek yang masih tidak puas hati mencapai parang tumpul sebelum menetak kepala mangsa berkali-kali sebelum melarikan diri,” katanya.



Menurutnya, berikutan kejadian itu mangsa lebam di mata kanan, lengan dan paha kirinya, malah kepala wanita itu turut bengkak selepas ditetak lelaki terbabit.

Katanya, mangsa tidak membuat laporan polis sejurus kejadian kerana dirawat berikutan kecederaan dialaminya.


“Mangsa hanya membuat laporan di Balai Polis Kangar pada Sabtu lalu sebelum polis menggerakkan usaha memburu suspek.

“Polis sudah mendapat petunjuk lokasi suspek melarikan diri dan kes disiasat mengikut Seksyen 324, Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata,” katanya.


 

No comments:

Post a Comment