sinar harian
13 Ogos 2012
13 Ogos 2012
Pergelangan tangan Mohd Shahril yang hancur selepas terkena serpihan mercun buatan sendiri.
KOTA BHARU-Padah bermain mercun! Dua remaja cedera parah dengan salah
seorangnya hancur di bahagian pergelangan tangan kanan selepas terkena
serpihan mercun buatan sendiri ketika menyalakan bahan letupan terbabit
di padang Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjung, semalam.
Kejadian kira-kira jam 12.50 tengah hari itu berlaku ketika
kedua-duanya yang dipercayai bekerja sebagai pengangkut barang di
kawasan terbabit, menyalakan 20 biji mercun bola yang diubah suai dengan
diletakkan dalam sebuah bekas.
Akibat tindakan mereka itu, Mohd Shahril Affendi, 20, hancur di
pergelangan tangan kanan manakala Mohd Ahmad Ismail, 19, melecur di
bahagian badan dan kabur kedua-dua mata kiri dan kanan.
Kedua-dua dua mangsa dikejarkan pihak ambulans dari Klinik Kesihatan
Wakaf Che Yeh ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan
susulan.
Pegawai Perhubungan Awam HRPZ II, Zaid Ahmad berkata, kedua-dua mangsa
dalam keadaan stabil, namun mengalami kecederaan parah.
“Kini mangsa dirujuk di unit kecemasan hospital sebelum dipindahkan ke
wad biasa. Dipercayai kedua-dua mangsa berasal dari Kampung Pangkal
Dalam, Pasir Mas,” katanya.
Bagaimanapun kedua-dua mangsa enggan ditemubual ketika Sinar Harian
cuba mendapatkan mereka di wad kecemasan terbabit.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham
Othman ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan dari pihak
hospital.
“Jika sabit kesalahan mereka boleh didenda di bawah seksyen 8 Akta
Bahan Letupan 1957 selain dipenjara lima tahu atau dikenakan denda RM
10,000.
“Saya nasihatkan agar orang ramai lebih berhati-hati dan tidak
melanggar undang-undang kerana bermain mercun bukan sahaja membahayakan
diri sendiri, malah orang lain kerana ia bakal mengundang kejadian yang
tidak diingini,” katanya.
Kejadian terbabit merupakan kes keempat di negeri ini, selepas kejadian
di Gua Musang, Pasir Mas dan Rantau Panjang.
No comments:
Post a Comment