(Oleh
Mohd Martin Kahar)
KUALA LUMPUR 13 Ogos: Pengerusi Bersih, Datuk S Ambiga tidak akan
memberi keterangan kepada panel siasatan bebas Bersih yang diketuai oleh
bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar.
Bekas Presiden Majlis Peguam itu
berpendirian, panel siasatan tersebut berat sebelah selain bertegas
perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu adalah sah di sisi
undang-undang.
Menurut beliau, panel siasatan tidak perlu ditubuhkan kerana
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) telah mengadakan pendengaran
awam bagi menyiasat perkara itu.
“Saya sudah menulis surat kepada panel siasatan dan memaklumkan saya
tidak akan hadir memberi apa-apa keterangan,” katanya ketika dihubungi.
Selasa lalu, Tun Hanif meminta Ambiga dan Majlis Peguam hadir memberi
keterangan.
Hanif berkata, keterangan itu amat diperlukan memandangkan mereka
adalah penganjur dan dapat memberi gambaran lebih jelas situasi
perhimpunan.
Sebelum ini, Hanif pernah mengaitkan Bersih 3.0 dengan ideologi
komunis.
Mei lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menubuhkan jawatankuasa
bebas untuk menyiasat keganasan perhimpunan Bersih 3.0.
Jawatankuasa itu turut dianggotai bekas Ketua Hakim Borneo, Tan Sri
Steve Shim; Pengarah Urusan Sinar Harian, Datuk Hussamuddin Yaacub;
Penasihat Perundangan Antarabangsa Media Cina Liew Peng Chuan; Pengarah
Perhubungan Korporat Petronas Datuk Medan Abdullah dan Profesor
Psychologi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Ruszmi Ismail.
Bagaimanapun, Steve menarik diri daripada panel itu kerana masalah
kesihatan manakala Mohammad Medan menolak pelantikan itu berikutan
bebanan tugas lain.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee
memaklumkan pihaknya akan mengadakan mesyuarat hari ini sebelum
memutuskan sama ada akan hadir memberi keterangan pada panel siasatan.
“Kami perlu berbincang perkara ini dulu sebelum membuat keputusan,”
kata Chee Wee.
Short URL: http://www.keadilandaily.com
No comments:
Post a Comment