Kecederaan di bahagian mata oleh peserta yang menyertai perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April lalu mungkin boleh terjadi sekiranya gas pemedih mata ditembak secara mendatar dan terus.

"Kalau minta pendapat saya, jika ia menembak secara menegak, mungkin boleh tercedera.

"Tetapi kalau nak cedera parah itu susah sebab jika ia ditembak ke atas, kanister akan jatuh perlahan," kata ASP Alekzandra Dawam, pegawai Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang mengawal selia pasukannya di Jalan TAR, Kuala Lumpur pada hari itu.

Bercakap kepada panel inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini, ketua unit FRU 4B daripada markas FRU Cheras itu bagaimanapun berkata, tiada peserta BERSIH yang tercedera semasa unit seliaannya bertugas.

Menurut Alekzandra, bergantung bagaimana cara ia ditembak, kanister gas pemedih mata boleh meluncur sejauh 50 hingga 150 meter.

Beliau berkata demikian ketika ditanya panel inkuiri, Detta Samen mengenai bagaimana peluru kanister boleh terkena mata dan tangan peserta BERSIH.

Sebelum ini, seorang peserta perhimpunan BERSIH 3.0 mungkin tidak dapat menceburi kerjaya sebagai jurutera mekanikal apabila diagnosis klinikal menunjukkan beliau buta setelah terkena satu kanister gas pemedih mata.

Asrul Wadi Ahmad, 27, terkena kanister gas pemedih mata di mata kirinya ketika menghadiri perhimpunan proreformasi sistem pilihan raya itu.