4 September 2012
Che Samad menunjukkan laporan polis dibuat berhubung kejadian berkenaan.
JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak lelaki
meninggal dunia selepas tiga hari bertarung nyawa akibat kecederaan
parah di kepala kerana tertusuk buluh penyidai pakaian yang terjatuh
dari tingkat 12, Blok C, Flat Sri Tanjung, Taman Kempas Permai dalam
kejadian 10.30 malam, Ahad lalu.
Mangsa, Muhammad Alias Che Samad, 4,
menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 11 pagi semalam di Unit
Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini.
Menurut bapa mangsa, Che Samad Che Omar,
51, ketika kejadian, dia bersama anak bongsunya itu sedang berjalan ke
kawasan tempat letak motosikal yang berada di tingkat bawah bangunan 17
tingkat berkenaan sebelum sebatang buluh terjatuh terkena kepala
anaknya.
“Alias berjalan di hadapan manakala saya
berada satu meter di belakangnya. Tiba-tiba sebatang buluh sepanjang 1.7
meter terjatuh lalu tertusuk di kepalanya sedalam kira-kira dua inci
menyebabkan anak saya terus pengsan dalam keadaan berlumuran darah.
“Dalam keadaan panik, saya terus mendakap
Alias yang rebah. Tanpa berfikir panjang saya terus menghantarnya ke
HSA menaiki motosikal dengan bantuan jiran,” katanya ketika ditemui di
wad PICU HSA, di sini, semalam.
Che Samad berkata, Alias dibedah pada
hari yang sama, namun hasil pemeriksaan doktor mendapati harapan untuk
anak lelakinya itu hidup adalah tipis.
“Saya reda apabila doktor memaklumkan
harapan untuk satu-satunya anak lelaki saya itu selamat hanya 50-50.
Namun saya dan isteri tidak berhenti-henti berdoa agar Alias mampu pulih
seperti sediakala,” katanya yang turut mempunyai tiga anak perempuan
berumur 10, 8, dan 6 tahun.
Menurutnya, sebelum Alias menghembuskan
nafas terakhir, doktor juga memaklumkan bahawa bahagian otak anaknya
gagal berfungsi akibat kecederaan itu.
Sementara itu, ibu mangsa, Halimah Zakaria, 32, yang masih terkejut dengan kematian anaknya enggan mengulas lanjut.
Che Samad yang menyewa di flat berkenaan
sejak enam tahun lalu mengesyaki ada individu yang bertindak membaling
objek berkenaan hingga menyebabkan kematian anaknya berdasarkan jarak
objek itu terjatuh dengan kawasan parkir motosikal.
Berikutan kejadian itu, Che Samad membuat laporan polis di Balai Polis Johor Bahru Central, semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor
Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan mengesahkan kejadian
terbabit dan memaklumkan pihak polis akan menjalankan siasatan lanjut.
Jenazah Muhammad Alias dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Alif, di sini, malam semalam.
No comments:
Post a Comment