Saturday, September 15, 2012

Dengan 13 juta pengundi, desakan pembersihan daftar pemilih semakin kuat

September 15, 2012
KUALA LUMPUR, 14 Sept — Jumlah pengundi bagi pilihan raya umum (PRU) ke 13 yang diwartakan oleh Suruhan Jaya Pilihan Raya (SPR) pada 16 Ogos 2012 adalah seramai 13,052,374 orang dan Selangor mencatatkan jumlah pengundi luar negara tertinggi iaitu seramai 579 orang.

Dalam statistik terkini SPR yang dikirimkan kepada The Malaysian Insider, jumlah pemilih biasa berjumlah 12,778,127 orang manakala jumlah pemilih tidak hadir yang merangkumi tentera, polis dan pengundi luar negara pula berjumlah 274,247 orang.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mempunyai jumlah pemilih tidak hadir tentera paling tinggi seramai 24,979 orang manakala Selangor mempunyai jumlah pemilih tidak hadir polis tertinggi iaitu 16,525 orang.
Secara keseluruhannya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mempunyai jumlah pemilih tidak hadir (tentera, polis, luar negara) yang paling tinggi iaitu 40,543 orang, diikuti oleh Perak 38,367 orang dan Johor 25,058 orang.

Selangor baru-baru ini mengumumkan untuk tidak mengadakan pilihan raya negeri serantak dengan PRU.
Timbalan pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar walaubagaimanapun tidak bersetuju dengan pengumuman kerajaan Selangor yang diperintah oleh PR itu.
“Ini tidak patut berlaku. Kita kena fikir kepentingan semua pihak bukan semata-mata kepentingan politik sahaja,” katanya dalam rancangan wawancara ‘Hello Malaysia’ oleh Bernama TV yang disiarkan secara langsung.
Wawancara selama sejam, yang bertajuk ‘Isu Bubar DUN: Implikasi SPR’, dikendalikan oleh Sherkawi Jirim.

Wan Ahmad berkata selain itu, anggaran jumlah kos untuk mengadakan pilihan raya umum adalah kira-kira RM400 juta manakala pilihan raya negeri secara berasingan di negeri Selangor sahaja akan menelan belanja sebanyak RM50 juta.
Ketua Pemuda DAP Anthony Loke sebelum ini menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mempercepatkan proses pembersihan daftar pengundi.

Beliau berkata, Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) untuk pilihan raya bebas dan adil yang mengeluarkan laporan pada April lalu menyebut bahawa pembersihan daftar pengundi  memerlukan masa empat bulan untuk dilaksanakan.
“Sudah empat bulan laporan ini sudah dikeluarkan tapi kami masih menerima aduan, sebab itu kami mahu SPR mempercepatkan proses pembersihan tersebut.
“Kami menggesa SPR supaya ada kesungguhan dalam proses pembersihan ini, dan akan terus mendesak supaya mereka terus mengemaskini data atau menerangkan mengenai isu ini,” kata Loke.

Loke berkata pembersihan daftar pengundi masih lagi dilakukan dan Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia (Mimos) mendapati terdapat “nama pengundi yang meragukan.
“Dalam laporan jawatankuasa parlimen, Mimos mendapati bahawa 324 alamat yang didaftarkan dengan melebihi 100 orang pengundi, dan 938 alamat melebihi 51 hingga 100 orang pengundi.
“Jumlah keseluruhan pengundi ini melebihi 100,000 orang,” katanya.

Pada pilihan raya 2008, Barisan Nasional (BN) hanya memenangi satu kerusi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur iaitu di kerusi parlimen Setiawangsa dan selebihnya dimenangi oleh Pakatan Rakyat (PR).
PRU ke 13 yang perlu diadakan selewat-lewatnya  sebelum April dianggap paling sengit dalam sejarah oleh kerana BN yang memerintah Malaysia semenjak 1957 dicabar hebat oleh PR yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS.

Dalam pilihan raya 2008, buat pertama kalinya penguasaan tradisi majoriti dua pertiga BN dinafikan oleh PR dan beberapa negeri BN seperti Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak jatuh ketangan PR.
Perak walaubagaimanapun kembali ketangan BN pada tahun 2009 apabila tiga ahli dewan undangan negeri (Adun) PR keluar dari gabungan tersebut dan menjadi Adun bebas menyokong BN.
The Malaysian Insider sebelum ini melaporkan kemungkinan pilihan raya mengejut diadakan pada November ini enam puluh hari selepas belanjawan dibentangkan oleh perdana menteri pada 28 September ini.
The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment