Friday, September 7, 2012

Dewan Ulama Kelantan pertahan teks khutbah

Harakahdaily

Muhammad Yusri Amin, 07 Sep 2012
KOTA BHARU: Dewan Ulama PAS Kelantan tetap mempertahan kandungan teks khutbah Hari Raya Aidilftri baru-baru ini dan menyifatkan mereka yang membangkitkannya sebagai mencari publisti murahan.

Ketuanya Datuk Mohamad Daud berkata kandungan teks khutbah yang disediakan oleh Dewan Ulama itu langsung tidak mempunyai perkara yang sensitif dan menyalahi agama seperti didakwa sesetengah pihak.

“Dalam khutbah kita tiada apa yang sensitif. (Hanya) Perkasa yang ungkitkan. Ini kerana (mereka) tidak ada modal (menjelang pilihan raya ke-13).

“Kita tidak menjadikan teks khutbah itu sensitif seperti mengajak supaya berlaku perpecahan, supaya rakyat melawan pimpinan yang ada dalam masyarakat kita,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Perkasa Sharif Mahmood dipetik media mendakwa teks khutbah dikeluarkan Dewan Ulama PAS Kelantan itu sebagai menyimpang jauh.

Beliau mendakwa ianya mengandungi kenyataan mengajak umat Islam supaya tidak menyokong pemerintahan Pusat kerana melakukan penipuan dalam pilihan raya.

Ekoran itu juga difahamkan beberapa laporan polis telah dibuat oleh kumpulan pendesak Melayu itu.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, teks khutbah itu tidak diwajibkan untuk khatib atau imam membacanya pada solat Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, namun terserah kepada mereka sama ada membacanya atau tidak.

“Dewan Ulama hanya menyedia dan mengedarkan teks khutbah itu. Mana-mana khatib atau pun imam yang nak baca, bolehlah baca. Kita tidak paksa.

“Adakah hendak mengharapkan pimpinan Umno membuat teks khutbah (hari raya itu), mereka tidak buat. Justeru selaku Dewan Ulama PAS, kita buat,” ujarnya lagi.

Antara kandungan teks khutbah itu katanya menerangkan bahawa pilihan raya hendaklah dijalankan dengan bersih dan menyeru memilih pemimpin yang baik agar harta negara serta masalah rakyat dapat diselesai dijaga dengan baik.

Mohamad mendakwa memandangkan pihak tertentu banyak melakukan penyelewengan dalam negara, maka mungkin khutbah Hari Raya Aidilfitri itu menimbulkan rasa tidak senang kepada mereka walaupun sebenarnya ia mampu menyedarkan orang Islam yang lain.

Mengulas laporan polis yang dibuat, Mohamad berkata sehingga kini belum ada siasatan dibuat terhadap pihaknya.

“Polis pun tidak datang, bahkan kalau mereka mahu siasat, carilah sendiri teks khutbah itu yang telah pun tersebar dalam masyarakat.

“Kalau setiap ucapan dan setiap khutbah diambil tindakan, maka jadilah pemerintahan ini  (mengikut) cara Komunis," katanya.

No comments:

Post a Comment