27 September 2012
Saya kata bahawa saya tidak kisah untuk sesiapa menjadi ulama tua ataupun muda kepada mana-mana parti selagi berpegang kepada prinsip agama ini.
Umno dan Pas, semuanya sahabat saya. Prinsip agama itu lurus, fatwa agama tidak boleh berpihak. Hal ini terpakai untuk bukan sahaja untuk Umno, tetapi untuk Pas juga. Pas pun dalam sejarahnya bukan tiada fatwa yang merbahaya termasuk yang boleh membawa kepada kafir-mengkafir. Hari ini nampaknya keadaan itu sudah berkurangan.
Sebenarnya, aliran literal itu sendiri jika kena pada tempatnya tidak salah. Mazhab Zahiri (literalism) -walau dikritik hebat - ia diiktiraf dalam fekah Islam. Tokoh besar Zahiri iaitu al-Imam Ibn Hazm al-Andalusi dan kitabnya al-Muhalla menjadi rujukan fekah yang penting.
Rosak Keadaan
Saya mengkritik golongan literalist dalam Umno kerana pemikiran yang dibawa itu boleh mengharukan proses keadilan yang wujud dalam negara ini keseluruhannya.
Hari ini mungkin sesetengah orang Umno seronok apabila terdapat beberapa orang agama yang boleh berhujah dengan nas-nas agama untuk membela Umno.
Biasanya perkara ini dibuat oleh Pas. Namun tanpa mereka sedar fatwa-fatwa aliran literalist tersebut jika diaplikasi dalam sistem politik negara ini, ia akan meruntuhkan keseimbangan, kemaslahatan dan keadilan politik yang menjadi tonggak kepada tujuan berpolitik.
Umpamanya, apabila mereka berfatwa haram mengkritik kepimpinan politik negara secara terbuka. Hanya yang dibenarkan berjumpa dan menasihati secara tertutup.
Pengharaman ini jika diterima bererti system Parlimen yang memboleh ahli-ahlinya Parlimen membahas dan mengkritik dasar dan perlaksanaan kerajaan secara terbuka kepada pengetahuan awam adalah haram.
Perhimpunan Agung Umno yang sering kali kita mendengar para perwakilan meluahkan perkara-perkara yang mereka tidak puas hati tentang kerajaan juga adalah haram.
Golongan literalist ini mungkin berfikir bahawa hukum yang mereka keluar boleh digunakan untuk menentang pihak pembangkang, tetapi mereka lupa implikasinya meruntuhkan sistem negara dan parti itu sendiri.
Bahkan dalam sejarah Umno, Tun Dr Mahathir yang merupakan mantan Perdana Menteri dan Presiden Umno sendiri apabila tidak puas hati dengan kepimpinan Perdana Menteri selepasnya iaitu Tun Abdullah Badawi, Tun Dr Mahathir telah melakukan kritikan terbuka.
Kebanyakan tokoh Umno yang ada, pernah melakukan hal yang sama apabila mereka berbeza ‘kem politik’. Bahkan Umno dan ulama muda itu sendiri mengkritik terbuka kepimpinan Kerajaan Kelantan, Selangor dan Kedah. Malang sekali jika golongan ini hanya terfikir fatwa berkenaan terkena pembangkang sahaja, padahal ia juga terkena kepada ‘tubuh sendiri’. Tentu mereka tidak akan kata ‘haram untuk kau, halal untuk aku’.
Ilmu Matan Hadis
Saya tidak mahu kata golongan ini berniat memperalatkan agama. Saya rasa sebab hal ini terjadi kerana cara fikir yang literal dan tidak menghayati ilmu Mukhtalaf al-Hadith yang merupakan ilmu penting dalam memahami matan sesuatu hadis.
seterusnya di sini
* Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, bekas Mufti Perlis
No comments:
Post a Comment