Tuesday, September 18, 2012

KUIN dari ilmu terbatas ke profesional: Agong bangga

Harakahdaily

Azamin Amin, 18 Sep 2012
ALOR SETAR: Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah melahirkan rasa gembira atas pencapaian Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang telah berkembang kepada pelbagai ilmu pengajian profesional.

"Beta juga merasa gembira kerana KUIN yang dahulunya hanya mempunyai kurikulum dan bidang ilmu yang kecil dan terbatas serta tumpuan hanya diberikan kepada pengajian Islam.

"Kini telah berkembang menjadi IPT yang menyediakan program profesional seperti perubatan, kejuruteraan, multimedia, hospitaliti, kaunseling, perbankan dan kewangan Islam," titah baginda.

Tuanku Abdul Halim yang juga Canselor KUIN bertitah demikian ketika majlis konvokesyan ke-14 Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di sini, 17 September lalu dan berkenan menyampaikan ijazah sarjana dan ijazah sarjana muda kepada kira-kira 300 graduan.

Turut mencemar duli ke majlis itu ialah Permaisuri Agong, Tuanku Haminah Hamidun dan dihadiri sama Menteri Besar Kedah Dato' Seri Diraja Ustaz Azizan Razak.

Baginda bertitah bahawa para graduan di KUIN sangat bertuah kerana dapat menimba ilmu daripada sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) yang dinamik, berprestij dan bertaraf antarabangsa.

"Beta berbangga kepada komposisi tenaga pengajarnya yang boleh dikatakan terdiri daripada cerdik pandai dan ulama yang terkemuka dari dalam dan luar negara, bahkan ia telah menjadi wadah pertemuan sarjana dan ulama antarabangsa," titah baginda.

Baginda menyeru para graduan supaya memanfaatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari ke jalan yang diredai dan diberkati Allah.

"Para graduan bukan sahaja perlu menjadi profesional yang cekap dan berkebolehan dalam menjalankan urusan duniawi bahkan dapat membawa kemajuan dan perkembangan yang lebih dinamik dan berimbang kepada diri, negara, agama dan bangsa di masa hadapan.

"Beta yakin semua bakal graduan terlatih dan terdidik dengan ilmu dunia dan ilmu akhirat dalam suatu kombinasi yang amat dituntut oleh Islam," titah baginda

Baginda bertitah semua itu dilaksanakan secara Islamik, melalui proses Islamisasi ilmu melalui gabungan konstruktif, kreatif, inovatif dan komprehensif antara ilmu dunia dan akhirat.

Untuk rekod, sejumlah 42 program pengajian ditawarkan oleh KUIN berbanding awal penubuhannya manakala Kampus Tetap KUIN di Kuala Ketil hampir siap dan lebih awal daripada jadual yang dijangkakan iaitu Februari 2013 yang boleh menampung lebih 7,000 pelajar.

KUIN juga telah memulakan program pengajian perubatan pada tahun ini dan turut melatih kakitangan Bank di Thailand dalam perbankan Islam.

No comments:

Post a Comment