Harakahdaily
Anis Nazri, | 24 Sep 2012 |
KUALA LUMPUR: Gabungan
Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) mendakwa enam calon
yang menyertai pilihan raya kampus (PRK) telah menerima ugutan bunuh dan
culik.
Calon daripada pro-mahasiswa itu dipercayai diugut oleh pihak yang
tidak dikenali dengan menghubungi keluarga calon terbabit di kampung.
Jurucakap Pro-M UKM, Ahmad Afif Zulkifli, mendakwa ugutan tersebut diadukan calon-calon terbabit kepada beliau sejak pagi tadi.
Beliau percaya ugutan tersebut dilakukan bagi menimbulkan rasa takut
calon yang kemudiannya akan bertindak menarik diri dari bertanding dalam
PRK.
Afif juga berkata, dua laporan polis sudah dibuat berhubung ugutan tersebut, satu di Kedah dan satu lagi di Pulau Pinang.
"Kami melihat ia satu perkara serius yang perlu mendapat perhatian
pihak bertanggungjawab. Kita bimbang dengan keselamatan calon-calon
ini," tegas beliau pada sidang media di lobi parlimen, petang tadi.
Selain ugutan tersebut, Afif turut berkata beberapa kain rentang yang
mewakili calon-calon daripada Chinese Community Council (CCC) dan
GMUKM disabotaj dengan menggunakan cat merah.
Dakwanya lagi, jika dilihat modus operandi tersebut, ia mirip modus
operandi yang dilakukan Umno dalam siri simbahan cat ke atas bas merdeka
rakyat.
Justeru, beliau menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terbabit dengan sabotaj tersebut.
Daripada 28 kerusi yang dipertandingkan, tujuh kerusi telah dimenangi
calon pro-mahasiswa tanpa bertanding, yang memerlukan hanya lapan
kerusi untuk dimenangi pro-mahasiswa bagi memperolehi majoriti bagi
menguasai PRK yang akan bermula esok.
Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria,
berkata ugutan bunuh dan culik yang berlaku ini adalah satu kejadian
pertama kali dalam sejarah PRK.
"Ugutan ini satu perkara biasa bagi calon pro-mahasiswa ini. Namun,
tidak pernah ada dalam sejarah ugutan bunuh dan culik. Ini kali pertama
dan kita harap pihak polis segera melakukan siasatan," tegas beliau pada
sidang media yang sama.
Turut serta pada sidang media itu ialah Presiden Ikatan Study Islam UKM, Mohd Azan Safar dan beberapa aktivis pelajar yang lain.
No comments:
Post a Comment