24 September 2012
ANALISIS – Teka-teki tarikh pilihan raya raya belum ada kesudahan.
Spekulasi berterusan. Begitu juga bayangan demi bayangan yang diberikan
oleh Datuk Seri Najib Tun Razak – satu-satunya pemimpin yang ada kuasa
dan yang tahu secara mutlak bila Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) perlu
dan akan dipanggil.
Nampaknya semua menarik nafas!
Sekali lagi penganalisis menjadi perhatian.
Beberapa penganalisis politik yang didampingi Sinar Harian Online
berpendapat PRU13 akan diadakan Januari 2013 susulan bayangan terbaru –
kali kelima dalam tempoh sebulan ini.
Ketika membuat bayangan keempat, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak
menasihatkan mereka yang menunaikan haji supaya tidak bimbang dengan
tarikh PRU13.
Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia, Dr Azizudin Mohd
Sanim berkata, agak mustahil pilihan raya diadakan tahun ini kerana
faktor masa dan belanjawan yang bakal dibentang hujung minggu ini.
Menurutnya, Bajet 2013 akan mengambil masa untuk dilaksanakan.
“Saya tak fikir PRU akan dibuat tahun ini, kalau hujung tahun pun ia
dilihat agak kelam kabut dan saya rasa paling awal PRU, dijangka Januari
depan.
“Lagipun pembentangan bajet pada bulan ini banyak yang dirancang
kerajaan dalam usaha menarik undi rakyat seperti pemberian bantuan,
bonus kepada kakitangan kerajaan dan lain-lain, akan ditunaikan pada
awal tahun hadapan dan Perhimpunan Agung Umno yang akan dibuat adalah
satu langkah untuk mengatur strategi terakhir untuk memastikan Barisan
Nasional (BN) menang besar," katanya.
Bajet 2013 akan diumumkan Jumaat ini.
Kelmarin, Najib menasihatkan jemaah haji, jumlahnya dalam sekitar
28,000 orang, agar menumpukan perhatian terhadap amal ibadat agar dapat
melaksanakan segala rukun dan syarat haji serta umrah dengan sempurna.
Dua hari sebelum itu, Najib berkata Perhimpunan Agung Umno yang akan
diadakan mulai 27 November hingga 1 Disember dan ia akan ditunda
sekiranya kerajaan memilih untuk mengadakan pilihan raya umum pada waktu
yang sama.
“Mudah sahaja. Sekiranya pilihan raya diadakan, kita tangguhkan
Perhimpunan Agung.
Tarikh pilihan raya terpulang kepada kita untuk
putuskan bila masa yang terbaik. Kita boleh adakan atau tidak adakan,
tapi kita akan teruskan seperti biasa," katanya.
Bermakna Najib, yang juga Presiden Umno, masih boleh memanggil PRU13. AGM bukan satu halangan dalam menentukan tarikh PRU.
Pada Sabtu lalu, ketika berada di Johor, Najib memberi bayangan kelima -
sokongan yang diperlihatkan oleh ahli-ahli Umno negeri itu memberikan
beliau satu bentuk semangat untuk memanggil PRU13.
Nampak gaya, keliru lagi!
Ditanya sama ada penetapan tarikh Perhimpunan Agung Umno akan
menyebabkan rakyat terus membuat spekulasi bahawa pilihan raya umum akan
diadakan tahun depan, Najib secara berseloroh berkata, biarlah rakyat
membuat spekulasi mengenai perkara itu.
“Saya suka mereka buat spekulasi," katanya.
Ketika era pentadbirannya, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir
Mohamad sering dikaitkan dengan istilah “ilham” apabila spekulasi tarikh
PRU muncul.
Wartawan sering bertanya sama ada sudah ada ilham ataupun sebaliknya.
Sementara Najib bermain dengan kata-kata ‘bayangan’, Pas menjangkakan
PRU13 akan ditangguh lagi. Kemungkinan sehingga akhir tahun ini atau
tahun depan, kata Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Menurut Hadi, Pas mengandaikan Pas sudah menetapkan tarikh untuk mengadakan Muktamar Agung Pas pada 24 November ini.
“Kita sudah tetapkan tarikh lebih awal untuk adakan muktamar. Bermakna
kita lebih berani berbanding Barisan Nasional untuk pilih November
sebagai persidangan,” katanya.
Seorang lagi penganalisis politik, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian
turut meramalkan pilihan raya kali ini akan diadakan tahun hadapan,
antara Januari atau Mac 2013.
Namun tidak mustahil bagi Najib untuk mengadakan PRU tahun ini
selewatnya Disember 2012 kerana kuasa sepenuhnya terletak di tangan
beliau.
“... kemungkinan besar tahun hadapan, setelah cukup sepenuhnya lima tahun mandat,” katanya.
Tambahnya, pengumuman bajet yang bakal memberi pengaruh besar kepada
undi rakyat perlu ditunaikan terlebih dahulu seperti pemberian
insentif-insentif berbentuk kewangan kepada rakyat dan Perhimpunan Agung
Umno adalah platform terakhir BN untuk mengatur strategi bagi
menghadapi PRU13.
Dalam pada itu, Prof Dr Shamsul Adabi Mamat berkata, spekulasi tarikh
sebenar PRU13 sering menjadi perbualan rakyat dan ada pihak menjangkakan
berlaku musim haji.
Beliau berkata, PRU13 berkemungkinan diadakan November ini setelah
jemaah haji pulang ke tanah air, cuma ketika itu negara berisiko
menghadapi masalah banjir.
“Mac antara tempoh sesuai untuk PRU13 memandang masa itu adalah cuti sekolah,” katanya.
Ramai meramalkan sidang Parlimen Mac-April lalu sebagai yang terakhir.
Hari ini Parlimen bersidang semula. Mengikut aturan mesyuarat,
persidangan akan memakan masa sekitar dua bulan. Paling lama dalam
kalendar Parlimen. Ia juga dilabel sebagai ‘sidang bajet’.
Beberapa minggu lalu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub meminta Najib
mengambil kira musim peperiksaan dan cuti sekolah jika mahu memanggil
PRU13 November ini.
Katanya, musim peperiksaan melihatkan pelajar, guru, dan ibu bapa.
“Jumlah keseluruhan mereka itu besar dan mereka memberi tumpuan ke atas
peperiksaan. Jadi, saya berharap Datuk Seri Najib tidak membubarkan
Parlimen ketika musim peperiksaan,” katanya yang juga Ahli Parlimen
Kubang Kerian.
Sebelum Pas melahirkan pendirian agar Perdana Menteri melihat aspek musim haji.
Kini sudah jelas tiada PRU13 ketika musim haji. Tidak akan ada PRU13.
Musim peperiksaan akan merentasi bulan November. Dan, ia akan disusuli
Disember.
Beberapa sumber berkongsi maklumat dengan Sinar Harian Online bahawa
semua pihak boleh 'rasa lega’ kerana PRU13 pasti tidak akan berlangusng
Disember ini, melainkan keadaan mendesak.
PRU13 - 'ibu' segala pilihan raya umum akan muncul Februari-Mac? Jika
begitu, suasana PRU 2004 dan 2008 akan disaksikan lagi kali? Atau Najib
akan cuba mengelaknya lagi.
No comments:
Post a Comment