Sunday, September 16, 2012

Singapura nafi haram kemasukan tenaga kerja dari Malaysia Timur

September 16, 2012

Anwar berkata tindakan menyisihkan sebahagian daripada mereka atas tindakan yang bukan dilakukan mereka, tetapi berdasarkan demografi, adalah tindakan yang tidak adil. — Gambar file
KUALA LUMPUR, 16 Sept — Kementerian Sumber Manusia Singapura hari ini menafikan republik itu mengharamkan kemasukan pekerja dari Sabah dan Sarawak berusia 35 tahun ke bawah untuk bekerja di negara itu seperti dilaporkan media sebelum ini. “Tiada pengharaman pekerja daripada Sabah dan Sarawak untuk bekerja di Singapura,” kata kenyataan yang dikeluarkan kementerian berkenaan.

Menurut kenyataan rasmi itu, Singapura masih menerima permit pekerja daripada Malaysia Timur sekiranya mereka layak dan sesuai untuk bekerja di republik berkenaan, namun hanya memperketatkan syarat kemasukan untuk memperlahankan kemasukan tenaga kerja asing bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi.
“Kami hanya mengetatkan kriteria pengambilan pekerja asing sejak beberapa tahun lalu untuk memperlahankan pertambahan tenaga kerja asing.

“Ia melibatkan daripada pelbagai sumber, bukan hanya Malaysia Timur, yang mungkin tidak menepati kriteria dan kelayakan untuk bekerja di Singapura,” jelas kenyataan rasmi tersebut.
Laporan akhbar The Star pada 10 September lalu menyebut kerajaan Singapura telah mengeluarkan polisi menaikkan syarat umur dari 18 tahun kepada 35 tahun bagi rakyat  pribumi Malaysia di Sabah dan Sarawak yang berhasrat untuk mendapatkan pekerjaan disana.

Akhbar itu menjelaskan pengharaman itu berpunca  ekoran daripada perubahan polisi yang berpunca daripada peningkatan kes jenayah dan pergaduhan yang melibatkan rakyat pribumi Sabah dan Sarawak di  republik tersebut.
Insiden itu termasuklah melibatkan kes pembunuhan di sekitar kawasan Ang Mo Kio Avenue, Kallang, dan juga Geylang.

Keadaan itu kemudiannya menimbulkan rasa tidak puas hati beberapa pihak yang menuntut penjelasan Singapura berhubung perkara itu.
Presiden Gagasan Dayak Iban Bersatu Malaysia, Sai Malaka, menegaskan bahawa permohonan  oleh rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak di bawah keperluan syarat umur telah ditolak dengan sewenang-wenangnya tanpa sebab.

Malah, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menggesa Singapura mengeluarkan penjelasan rasmi berhubung tindakan mereka itu yang disifatkannya sebagai umpama merosakkan masa hadapan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan keluarga mereka.
“Visa perlu dikeluarkan berdasarkan kemahiran, pengalaman, dan kesesuaian kerja, bukan berdasarkan demografi.

“Setiap rakyat Malaysia yang bekerja di republik berkenaan menyumbang kepada pembangunan ekonomi Singapura,” kata Anwar yang juga Penasihat Ekonomi Selangor.
Anwar turut menambah, dengan menyisihkan sebahagian daripada mereka atas tindakan yang bukan dilakukan mereka, tetapi berdasarkan demografi, adalah tindakan yang tidak adil. The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment