Harakahdaily
| Khairil Abdul Rahim, | 28 Okt 2012 |
TEMERLOH: Sudahlah terpaksa tinggal di taman perumahan tanpa sijil kelulusan menduduki (certificate of fitness for occupation - CF) selama lebih 20 tahun, kini dikhabarkan pula 15 blok rumah pangsa kos rendah perumahan kerajaan itu akan dirobohkan pula.
Dengan
janji membina pangsapuri baru, isu itulah yang menghantui hampir 300
keluarga dengan kira-kira 1,200 penduduk rumah pangsa kos rendah Taman
Seri Kemuning dekat sini.
Menurut luahan penduduk kepada Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan
Ibrahim Tuan Man serta rombongan Konvoi Cakna Rakyat, dilema mereka
ialah ke mana akan berpindah untuk memulakan penghidupan baru sedangkan
mereka sudah lama bermastautin di situ.
Mereka juga telah mengeluarkan wang membayar sewa mahupun membelinya
dan ada antara mereka telah membayar habis pinjaman melalui potongan
gaji jadi bukan mudah untuk mereka membuat pinjaman kali kedua mencari
rumah lain.
Pengerusi jawatankuasa bertindak penduduk, Hasan Him, 60, berkata 70 peratus daripada pemilik merupakan warga emas justeru jika mereka berpindah sementara menunggu pangsapuri baru, belum tentu nanti mereka akan dapat memiliki rumah baru kerana bank tidak akan mengeluarkan pinjaman kepada mereka kerana faktor usia.
Menurut Hasan, penduduk sudah sekian lama menghadapi tekanan rumah
mereka tidak memiliki CF kerana sedar risikonya ialah andai kata terjadi
sesuatu musibah seperti kebakaran dan sebagainya, segala kerosakan,
kerugian dan kemalangan tidak boleh dituntut kerana pihak insuran tidak
menerima perumahan tanpa CF.
“Penduduk sudah beberapa kali menghantar memorandum kepada pelbagai pihak bagi meminta diselesaikan permasalahan mereka. Ada juga pertemuan dengan menteri dan Exco perumahan.
“Awal tahun ini Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob telah datang berdialog dengan penduduk. Apabila diajukan persoalan CF, beliau juga tidak dapat memberikan jawapan yang memuaskan hati penduduk,” katanya.
Menurut Hasan, pembinaan 5 blok rumah pangsa dengan 705 unit rumah
itu pada asalnya adalah perumahan rakyat berpendapatan rendah terbesar
di Temerloh.
Projek dilaksanakan semasa Tun Khalil Yaakob menjadi Menteri Besar
Pahang dengan mendapat peruntukan dana daripada kerajaan Pusat sementara
kerajaan negeri hanya menyediakan tapak tanah bagi perumahan berkenaan.
Dalam masa menyiapkan projek berkenaan, dua kontraktor utama telah
‘lari’ dan bertukar tangan hinggalah syarikat perumahan kerajaan sendiri
yang masuk campur.
“Perumahan mulai diduduki pada tahun 1990, pada asalnya bayaran pemilikan berbentuk sewa beli dengan harga RM25,000 itu dikutip oleh wakil kerajaan negeri sekitar antara RM50 ke RM100 sebulan.
“Lama kelamaan kerajaan negeri pimpinan Umno BN tidak lagi berupaya meneruskan sistem berkenaan lalu menyerahkannya kepada pihak bank.
“Tidak dinafikan, kesalahan pihak penduduk memang ada iaitu ada sesetengahnya yang agak liat membayar sewa beli bulanan. Tetapi bukan semua, saya sendiri sudah bayar habis dengan membuat pinjaman bank.
No comments:
Post a Comment