Thursday, October 11, 2012

Mayat bayi disangka sampah

sinar harian
11 Oktober 2012
Pegawai polis memangku mayat bayi yang dijumpai.
Pegawai polis memangku mayat bayi yang dijumpai.
Beberapa pegawai polis memeriksa beg berisi mayat bayi lelaki.
Beberapa pegawai polis memeriksa beg berisi mayat bayi lelaki.
ALOR SETAR - Seorang ahli kariah Masjid Ar-Rahman, Alor Merah di sini, terkejut menemui beg plastik yang disangka berisi sampah malam kelmarin rupa-rupanya mengandungi mayat bayi lelaki dipercayai dibuang.

Ishak Chin, 54, berkata, dia menemui beg berkenaan di depan tandas perempuan ketika mahu menutup pintu pagar di tepi masjid, selepas menunaikan solat Isyak kira-kira jam 8.45 malam.

“Pada awalnya saya sangka beg berwarna coklat gelap itu berisi sampah dan ingin membuang sampah berkenaan sebelum pulang. Namun setelah mengangkatnya terasa isi kandungan beg berat.

“Apabila dibelek terdapat satu bungkusan kain putih. Saya kemudian menyelak kain dan terperanjat apabila ternampak muka bayi,” katanya.

Ishak berkata, dia kemudian memaklumkan kepada imam masjid dan ahli kariah lain yang kemudian membuat laporan di Pondok Polis Alor Merah.

“Bayi berkulit sawo matang itu cukup sifatnya dan masih bertali pusat, kemungkinan pihak yang membuangnya mahu ia diurus dengan baik.

“Anggota badan bayi itu kelihatan bersih dan tiada tompokan darah ditemui,” katanya.

Menurutnya, itu merupakan kejadian pertama sejak masjid berkenaan dibuka pada 1960.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, mayat bayi berkenaan dihantar ke Jabatan forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk dibedah siasat.

“Buat masa sekarang tiada suspek ditahan berhubung kes berkenaan.

"Kes disiasat bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran,” katanya.

No comments:

Post a Comment