Tuesday, October 2, 2012

Nenek melatah lawan penyamun

  sinar harian
2 Oktober 2012
Nenek melatah lawan penyamun
Keadaan mulut mangsa.
PENDANG - Setengah jam bergelut dalam kelambu, akhirnya perompak yang tidak tahan dengan latah dan jerit pekik seorang warga emas terus cabut lari dan meninggalkan mangsanya yang cedera.

Kamaliah Ismail, 85, cedera di mulut, kerongkong dan telinga manakala tangan dan badan mengalami lebam-lebam setelah dicucuk menggunakan batang besi dalam kejadian rompakan di rumahnya dekat Kampung Air Puteh Dalam dekat sini awal pagi, Sabtu lalu.

Ketika kejadian jam 5 pagi itu mangsa ketika itu tidur dalam kelambu, tiba-tiba diterkam seorang lelaki bertopeng lalu duduk di atas dada sambil menarik rambut mangsa.

Anak mangsa, Zainol Mustafa, 58, berkata, dia difahamkan ibunya, perompak itu cuba bertindak kasar dengan menyumbat besi ke dalam mulut dan mencucuk besi itu sehingga ke bahagian kerongkong selepas ibunya menjerit.

“Bila lelaki bertopeng itu cuba menanggalkan rantai tangan dan leher dipakai ibu bernilai RM10,000, ibu menjerit dan lelaki itu gagal mengambil barang kemas itu.

“Latah ibu di tahap serius. Ini menyebabkan dia (ibu) ada kekuatan melawan perompak itu walaupun dipukul teruk di badan dan disumbat serta dicucuk besi sehingga ke kerongkong,” katanya.

Zainol berkata, setengah jam ibu bergelut dengan perompak dan melawan sehingga tangannya diikat dengan kain kelambu.

“Perompak itu masuk melalui tingkap dapur dan ibu terjaga, namun menyangka kucing menyebabkan dia tidak bangun melihat. Kurang satu minit perompak itu bertindak menerkam dalam kelambu ibu tidur.

“Terkejut dengan tindakan yang dilakukan itu menyebabkan ibu melatah dengan melawan perompak itu sehingga dia gagal melarikan barang kemas dan beredar,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu disedari cucunya yang bersiap untuk bekerja apabila terdengar bunyi dari rumah neneknya, namun menyangka neneknya sedang bermimpi dan memanggil neneknya, tetapi tidak disahut.

“Ketika cucunya masuk, dia mendapati ibu berlumuran darah dan keadaannya tidak bermaya manakala gigi palsu yang dipakai patah dan berselerak di tempat kejadian.

“Kejadian ini kali pertama berlaku pada keluarga saya dan di kampung ini,” katanya.

Mangsa hanya mampu terlantar dan sukar untuk makan disebabkan kecederaan teruk di bahagian mulut dan kerongkong, manakala kes telah dilaporkan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pendang.

No comments:

Post a Comment