Saturday, October 6, 2012

PKR: Jadi isu di Parlimen bukti Bajet PR menarik

sinar harian
6 Oktober 2012
ALOR SETAR - Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Ahmad Kassim menyifatkan belanjawan Pakatan Rakyat (PR) lebih menarik berbanding Bajet 2013 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak baru-baru ini.

Katanya, perbandingan ini berlaku  sehinggakan dalam Parlimen juga turut dibahaskan perkara sama, sebaliknya bukan Bajet 2013 yang dibahaskan.

“Ini menunjukkan belanjawan PR lebih menarik berbanding bajet Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Tapi Najib dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin sanggup mengeluarkan kenyataan dan pelbagai alasan untuk menangkis pendekatan PR,” katanya kepada Sinar Harian.

Ahmad berkata, mereka terpaksa respons kepada belanjawan PR di Dewan Rakyat dan Parlimen berikutan belanjawan PR lebih menarik.
“Najib tahu kita (PR) akan beri pendapatan yang lebih kepada rakyat. Sebab itu dia cuba menangkis belanjawan PR.

“Ini semua sebenarnya hanya satu alasan kepada Umno dan BN yang tidak mampu melaksanakannya.

“Mereka akan kata, apa program PR, hapus tol, hapus PTPTN, caruman kepada wanita, turun harga kereta dan sebagainya hanyalah akan membuatkan negara bankrap,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad turut mengulas kenyataan Khairy berhubung cadangan PR untuk menyelaraskan gaji minimum RM1,100 sebulan hanyalah untuk meraih undi dan membuatkan negara bankrap adalah satu lawak jenaka.
Katanya, kenyataan Khairy itu dikatakan lawak kerana dia sendiri telah menerima satu memorandum daripada sebuah syarikat di Johor yang mengatakan bahawa penyelarasan gaji minimum RM1,100 sebulan sebenarnya tidak akan bankrapkan negara.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kenyataan Khairy yang menyifatkan gaji minimum RM1,100 ditawarkan PR sebagai janji untuk meraih undi.
Menurut laporan itu, pembangkang tidak membuat sebarang kajian dan jika dilaksanakan, ia akan memberi impak kepada negara.

No comments:

Post a Comment