Harakahdaily
Muhammad Yusri Amin, | 20 Nov 2012 |
KOTA BHARU: Gara-gara anak Penasihat Petronas
mendapat anugerah projek carigali bernilai ratusan juta di perairan
Kelantan, kumpulan anak-anak muda di sini membuat laporan kepada
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
SapuraKencana yang ada kaitan dengan Datuk Mokhzani Mahathir
dikatakan mendapat projek bernilai RM835.8 juta daripada Petronas
Carigali Sdn Bhd dan HESS Exploration and Production Malaysia BV.
Anak bekas perdana menteri itu merupakan Naib Pengerusi SapuraKencana.
Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke
Kelantan (Royalti - R) mengesyaki wujud unsur-unsur tidak sihat di atas
anugerah projek terbabit.
Presidennya, Nazri Deraman berkata, R merujuk laporan kenyataan media
Petronas yang menyebut Tun Dr Mahathir merupakan penasihat Petronas
sehingga sekarang.
Kata beliau projek berkenaan membabitkan pengeluaran gas dari Medan
Bunga Kamelia dan Blok PM301 yang terletak 150 km dari pantai Kelantan.
Sapura Kencana Petroleum Bhd dianugerah projek terbabit bermula Oktober 2012 sehingga April 2016.
“Kami serah memorandum kepada SPRM berkaitan isu berkenaan bagi
membolehkan badan itu menyiasat skandal minyak membabitkan keluarga Dr
Mahathir.
“SPRM perlu menjalankan siasatan ke atas Petronas dan Dr Mahathir
kerana kelihatan ada unsur-unsur tidak sihat berlaku,” katanya selepas
menyerah memorandum tersebut kelmarin.
Menurutnya R menuntut SPRM menjalankan siasatan dalam tempoh 30 hari
kerana ia membabitkan kes berprofil tinggi dan sebuah syarikat yang ada
kaitan dengan kerajaan.
Bagaimanapun beliau berkata, sekiranya SPRM tidak mengeluarkan
apa-apa jawapan, R akan mengadakan perhimpunan aman di hadapan bangunan
SPRM dan membawa kes berkenaan ke peringkat antarabangsa.
Nazri turut diiringi 50 aktivis R menyerahkan memorandum kepada
Timbalan Pengarah (Operasi) SPRM Kelantan, Che Aziz Hamzah di pejabat
SPRM di Lundang.
Baru-baru ini Dr Mahathir ketika mengulas isu berkenaan seperti
disiarkan Malaysiakini dipetik sebagai berkata, “Ya sudah tentu, dia
(Mokhzani) mendapatnya kerana saya arahkan Petronas. Masukkan itu dalam
akhbar awak.
“Saya mempengerusikan segala-galanya. Saya memberitahu mereka, sila
berikan kepada anak saya dan bukan orang lain. Itulah apa yang saya buat
selama ini.
“Apabila saya jadi perdana menteri, segala-galanya dapat pada anak-anak saya.
“Tetapi apabila semuanya dapat pada anak-anak perdana menteri-perdana
menteri lain, awak tak mahu menyebut kerana dia seorang yang baik.”
No comments:
Post a Comment