(Oleh Aedi Asri)
KUALA LUMPUR 20 NOVEMBER: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim
menyeru Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman mewakili Malaysia untuk ke
semenanjung Gaza bagi menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul mengutuk kekejaman
Israel ke atas Palestin berhubung serangan terbaru regim itu terhadap
Semenanjung Gaza.
“Ada perkembangan positif akhir-akhir ini iaitu ketegasan Liga Arab
serta negara demokrasi baru, terutama Tunisia, Mesir dan Turki yang
ambil langkah cukup berani (membantah serangan).
“Malah saya difahamkan beberapa menteri, termasuk Perdana Menteri
Mesir, Hesham Qandil telah ke Gaza dan ambil risiko di tengah-tengah
pembedilan berterusan regim Israel.
“(Justeru) dalam menyokong usul ini, saya gesa khususnya Menteri Luar
agar dapat ke sana, kalau tidak di Gaza di negeri sekitarnya untuk
nyatakan sokongan pada inisiatif Liga Arab, Tunisia, Turki dan Mesir,”
katanya lagi.
Memetik laman berita Al-Jazeera, Liga Arab dalam satu kenyataan
berikrar menyokong Palestin dan akan menamatkan sekatan ke atas
Semenanjung Gaza.
17 November lalu, Menteri Luar Tunisia, Rafik Abdessalem melawat
Gaza, sehari selepas Hesham Qandil ke sana untuk menyatakan sokongan.
Menurut agensi berita AFP, jumlah kematian penduduk Gaza kini mencecah 109 orang selepas Israel melancarkan 1,350 serangan.
Sehingga kini, kerajaan Malaysia masih belum mengeluarkan sebarang
kenyataan untuk menghantar bantuan ke wilayah bergolak tersebut.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/
No comments:
Post a Comment