sinarharian
4 November 2012
4 November 2012
Daniel Guiza
JOHOR BAHRU - Bekas pemain bola sepak antarabangsa dari Sepanyol,
Daniel Guiza tidak tahu banyak mengenai bola sepak Malaysia namun beliau
bertekad membantu Johor memenangi setiap piala utama dalam kempen bola
sepak Malaysia akan datang.
Guiza, 32, yang belum secara rasmi bersetuju dengan terma Johor FA, berkata beliau begitu teruja untuk bermain di negara ini.
"Secara jujurnya, saya tidak tahu banyak mengenai bola sepak Malaysia
tetapi sebelum datang ke sini, saya menonton beberapa video di Internet
mengenai perlawanan tempatan, dan pada pemerhatian saya, bola sepak amat
dekat di hati rakyat Malaysia.
"Saya berasa sungguh gembira dapat datang ke sini kerana ini akan
menjadi pengalaman baharu kepada saya," katanya pada sidang akhbar yang
dianjurkan Johor FA di sini hari ini.
Guiza berkata sebab beliau mahu meninggalkan kelab yang diwakilinya,
Getafe CF, ialah berpunca daripada perbezaan pendapat antara dirinya
dengan pengurus kelab itu sekarang berkaitan dengan hal ehwal kelab.
Ditanya adakah wang menjadi dorongan utamanya untuk datang ke Johor,
beliau menjawab "tidak" kerana menurutnya beliau turut mendapat tawaran
daripada beberapa kelab terkemuka Sepanyol dan Eropah.
"Saya mahu membantu Johor menjadi bukan sahaja pasukan terhebat di Malaysia, tetapi juga di Asia," katanya.
Guiza menempa nama kira-kira lima tahun lalu selepas muncul sebagai
penyaring terbanyak La Liga, mewakili Mallorca - menjaringkan 27 gol
dalam 37 perlawanan - dan membantu pasukan kebangsaan Sepanyol menjuarai
kejohanan Euro
2008.
2008.
Tidak lama selepas memenangi Euro 2008, beliau menandatangani kontrak
dengan sebuah daripada kelab terbesar di Turki, Fenerbahce, sebelum
kembali semula beraksi dalam La Liga pada tahun lepas untuk mewakili
Getafe.
Sementara itu, Presiden Johor FA, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail
Sultan Ibrahim bertitah Guiza masih belum memberikan persetujuan atas
sebab isu-isu peribadi.
"Beta amat berbesar hati untuk mempunyai pemain berkaliber sepertinya
untuk datang ke sini dan isunya bukan wang yang ditawarkan kepadanya
tetapi sama ada beliau dapat menyesuaikan diri di sini dengan cepat."
Baginda berharap dapat memuktamadkan isu kontrak itu secepat mungkin
untuk menunjukkan kepada Guiza apa yang Johor dapat tawarkan.- Bernama
No comments:
Post a Comment