Indonesia akui sukar tangani fenomena kanak-kanak pendek
November 18, 2012
JAKARTA, 18
Nov — Kaji selidik Makanan Berkhasiat Asia Tenggara (Seanuts) terbaharu
menunjukkan kanak-kanak Indonesia adalah yang paling pendek di antara
empat negara di Asia Tenggara iaitu Indonesia, Malaysia, Thailand dan
Vietnam.
Pihak kerajaan Indonesia mengakui sedang berdepan masalah yang sangat
kompleks dan sukar mengatasinya kerana fenomena itu bukan semata-mata
berpunca daripada kekurangan zat makanan tetapi juga faktor lain seperti
penyakit dan kebersihan alam sekitar.
Fenomena kanak-kanak pendek atau kanak-kanak yang terbantut
pertumbuhannya sering dikaitkan dengan masalah kekurangan zat makanan
akibat daripada penyakit seperti cirit-birit kronik, kelahiran tidak
normal, penyakit cacing, malaria dan jangkitan pada saluran pernafasan.
Pengarah Pembangunan Makanan Berzat Untuk Masyarakat, Kementerian
Kesihatan Indonesia Minarto berkata usaha untuk mengatasi masalah
“tumbesaran terbantut” di Indonesia memerlukan masa yang panjang.
Kanak-kanak kecil yang diserang cirit-birit misalnya boleh mengalami
masalah kekurangan zat makanan dan jika tidak ditangani, ia akan
mengganggu pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak itu, Minarto dipetik
sebagai berkata oleh akhbar Media Indonesia pada Sabtu.
Penyakit cirit-birit, jangkitan pada saluran pernafasan dan cacing
pula berkait rapat dengan gaya hidup masyarakat dan kebersihan alam
sekitar, oleh itu penanganan masalah itu perlu disertai usaha
membudayakan gaya hidup sihat dan penjagaan kebersihan alam sekitar.
Hasil kaji selidik Seanuts di empat negara itu iaitu Indonesia,
Malaysia, Thailand dan Vietnam bagi tahun 2011 yang diumumkan baru-baru
ini mendapati bahawa kanak-kanak berusia bawah lima tahun di Indonesia
mengalami masalah “tumbesaran terbantut” pada kadar 24.1 peratus
(lelaki) dan 24.3 peratus (perempuan).
Bagi kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun pula, peratusan yang
mengalami masalah sama ialah 24.1 peratus (lelaki) dan 25.2 peratus
(perempuan).
Secara perbandingan peratusan kanak-kanak yang mengalami masalah
tumbesaran terbantut di Malaysia, Thailand dan Vietnam pada umumnya
ialah antara 11 hingga 12 peratus.
Minarto berkata Gerakan Nasional 1,000 Hari Pertama Kehidupan yang
dilancarkan oleh Kementerian Kesihatan Indonesia pada bulan ini
merupakan satu daripada program dalam usaha menangani isu itu di
peringkat hulu.
Gerakan itu menumpukan perhatian kepada ibu-ibu mengandung hingga
anak mereka berusia dua tahun, dengan pemberian makanan tambahan kepada
ibu-ibu mengandung, bayi diwajibkan minum susu ibu hingga berusia enam
bulan dan bantuan makanan berzat kepada kanak-kanak berusia di bawah
lima tahun. — Bernama
No comments:
Post a Comment