November 14, 2012
SHAH
ALAM, 14 Nov — Pengisytiharan harta dicadangkan oleh Dewan Pemuda PAS
Pusat serta disokong oleh PAS negeri Selangor dan Pahang adalah untuk
menggembalikan kepercayaan rakyat Malaysia dan dunia terhadap
pemerintahan Islam, kata Mohamad Sabu.“Realiti yang berlaku pada hari ini di dalam dunia ketiga khususnya dunia Islam, pemimpin memiliki segala-galanya.
“Apabila kita tengok pemimpin-pemimpin negara Islam hampir kesemuanya adalah golongan terkaya sama ada Soeharto di Indonesia, keluarga Saud di Arab Saudi, keluarga Raja di UAE, Qatar dan Brunei.
“Kekayaan tidak dimiliki oleh rakyat.
“Jadi, mesti golongan pemuda (Pemuda PAS), yang sedang atau bakal dapat kuasa bangun memperlihatkan apa yang dipanggil Islamic Civilization (Ketamadunan Islam), dan jikalau kita gagal bermakna Islam hanya kembali dalam bentuk retorik,” katanya.
Menurut Mohamad (gambar) lagi, pengisytiharan harta yang dicadangkan oleh Pemuda PAS itu,hanyalah permulaan kepada ciri-ciri ketamadunan Islam – bakal dilaksanakan jika parti tersebut diberi peluang untuk mengambil alih kepimpinan negara.
“Kita harap pengisytiharan harta ini sebagai Muqadimah (permulaan) sahaja.
“Kalau kita nak kata tamadun Barat itu tidak betul, kita harus tunjuk yang mana betul termasuk dari segi Syariat, Keadilan dan Kebajikan.
“Kerana buat masa sekarang, negara orang Islam adalah antara yang paling rasuah dalam dunia ini, negara orang-orang Islam adalah diantara paling kuat rasuah,” kata Timbalan Presiden PAS itu dalam sebuah wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insider baru-baru ini.
Menurut beliau yang mesra dengan panggilan Mat Sabu lagi, langkah dilakukan oleh Pemuda PAS itu adalah percubaan untuk menggembalikan ciri-ciri pemerintahan Islam seperti zaman kegemilangan satu ketika dahulu.
“Langkah Pemuda (PAS) ini saya alu-alukanlah.
“Ini hanyalah salah satu dari ciri-ciri pentadbiran baik yang dilahirkan oleh ketamadunan Islam,” katanya.
Menurut Mohamad lagi, ketamadunan Barat telah membuat persembahan baik dalam pemerintahan mereka selepas berlakunya Revolusi Industri, Revolusi Bolshevik dan Revolusi Perancis dan orang-orang Islam perlu menunjukkan kebaikan mereka pula.
“Sekarang apabila golongan Islam naik memerintah, dunia mahu melihat ketamadunan Islam muncul semula.
“Orang nak lihat, apakah apa yang dikatakan sebelum ini hanyalah retorik atau benar-benar boleh mengatasi tamadun Barat,” katanya lagi.
Baru-baru ini Setiausaha Pemuda PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil mengumumkan kesemua exconya bakal melakukan pengisytiharan harta semasa muktamar dewan tersebut di Kelantan esok.
“Kemungkinan besar akan ada majlis pengisytiharan harta itu pada muktamar kali ini. Dengan harapan ia akan merintis kepada semua pimpinan PAS,” katanya dipetik dari Harakahdaily.
Khairul Faizi juga dilaporkan berkata langkah tersebut bagi menunjukkan ketelusan barisan kepimpinan Pemuda PAS Pusat, biarpun mungkin tidak semua dicalonkan pada pilihan raya umum (PRU) ke 13 akan datang.
Langkah yang dicadangkan oleh Pemuda PAS itu disambut baik oleh PAS Pahang dan Selangor apabila kedua-dua pesuruhjaya negeri tersebut, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Dr Rani Osman tampil menyatakan sokongan mereka terhadap langkah tersebut.
Langkah pengisytiharan harta itu turut disokong oleh Pengerusi Umno Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Kata menteri besar Pahang itu, ia adalah wajar supaya anggota Umno bersih dari elemen prasangka sebelum layak dipilih mewakili parti dan mengelakkan seseorang itu hidup diluar kemampuan yang tidak seimbang dengan pendapatan.
“Kita memerlukan bakal calon yang berintegriti, bersih dan berwibawa kerana wakil yang ditonjolkan itu adalah mewakili sebuah parti yang hebat,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.
Manakala Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan ketika ditanya oleh pemberita baru-baru ini mengenai cadangan pengisytiharan harta, berkata Umno masih lagi membincangkan mengenai perkara tersebut.
No comments:
Post a Comment