Tuesday, November 20, 2012

PKNS rancang bina 9,481 rumah mampu milik

Harakahdaily

Hayati Umor Selangorku, 20 Nov 2012
SHAH ALAM: Sebanyak 9,481 unit rumah mampu milik lagi di seluruh negeri dirancang untuk dilaksanakan bagi tempoh 2014 hingga 2018 oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Iskandar Samad berkata unit rumah itu akan dibina antaranya di Kota Puteri, Hulu Selangor, Antara Gapi dan Shah Alam.

Manakala bagi tempoh 2010 hingga 2013 sebanyak 1,215 unit rumah mampu milik sudah dibangunkan dan sedang dibangunkan.

“Empat projek sudah diadakan perbincangan dan kini sudah masuk ke permohonan kebenaran merancang,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) penggal kedua belas ketika menjawab pertanyaan Adun Tertai Jenice Lee.

Iskandar menambah Kerajaan Negeri turut menggalakkan pemaju swasta untuk membina rumah mampu milik.

Setakat ini, katanya, sebanyak 1,500 unit akan dilaksanakan oleh pemaju dan kini dalam proses permohonan kebenaran merancang.

“Selain itu, sebanyak 1,682 unit akan disiapkan pada tahun depan. Ia akan dijual dengan harga minimum RM85,000 dan maksimum RM150,000 bagi satu unit dengan keluasan 850 hingga 1,000 kaki persegi,” katanya.

Mengulas lanjut, Iskandar berkata Kerajaan Negeri melalui PKNS sentiasa memberikan subsidi untuk pembelian rumah mampu milik.

“Contohnya, untuk fasa pertama, antaranya di Bukit Botak, ia meliputi sebanyak 1,215 unit rumah, daripada jumlah itu, PKNS memberikan subsidi sebanyak RM36 juta.

“Keperluan untuk membina rumah mampu milik bergantung kepada keperluan dan kesesuaian pembinaan sama ada sesuai untuk mampu milik atau kos rendah,” katanya.

No comments:

Post a Comment