Tuesday, November 20, 2012

Remaja lari dari rumah akibat didera bapa

sinarharian
20 November 2012
GEORGE TOWN - Seorang remaja perempuan bertindak melarikan diri dari rumah akibat tidak tahan didera bapanya sejak dua tahun lepas.
 
Wen, 13, yang tinggal berdua dengan bapanya di Farlim, Air Itam dekat sini berkata perkara itu berlaku selepas ibu bapanya berpisah sejak dua tahun lalu.
 
"Setiap hari bapa pukul dan tampar saya tanpa sebab. Selepas habis waktu sekolah dia akan kurung saya," katanya kepada pemberita di Biro Pengaduan Awam MCA di sini hari ini.
 
Mangsa yang kini tinggal bersama ibu dan kakaknya sejak beberapa minggu lepas berkata dia tidak berani keluar dari rumah ibunya kerana takut terserempak dengan bapanya.
 
Ibunya Yam Mei Heai, 41, berkata semasa berpisah dengan suaminya, dia hanya membawa seorang anak bersamanya kerana tidak mampu menyara Wen dan kakaknya sekaligus.

"Saya pernah cuba mencari anak bongsu saya ini di sekolah tapi tidak berjaya kerana bekas suami saya sentiasa mengawasi kami," katanya.
 
Dia mendakwa suaminya seorang yang panas baran dan kaki pukul.
 
Timbalan Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Pulau Pinang, Lim Thoon Deong berkata beliau telah membantu keluarga tersebut membuat laporan polis.
 
Katanya pihaknya akan membawa Wen berjumpa pakar psikiatri bagi mengatasi tekanan perasaan yang dialaminya. - Bernama

No comments:

Post a Comment