Wednesday, November 21, 2012

Rafizi: ICAC diminta semak semula kes RM40 juta

sinarharian
20 November 2012
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli
KUALA LUMPUR – National Oversight and Whistleblowers (NOW) mahu Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah Hong Kong (ICAC) menyemak semula kes dana politik RM40 juta, didakwa melibatkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz dan ahli perniagaan, Micheal Chia.

Pengerusi Eksekutifnya, Rafizi Ramli berkata, sehingga kini tiada sebarang kenyataan rasmi dari ICAC mengesahkan kenyataan Nazri di Dewan Rakyat berhubung pengguguran kes tersebut, baru-baru ini.

Beliau berkata, sekiranya ICAC terpaksa menghentikan siasatan kerana Kerajaan Malaysia tidak memberi kerjasama sewajarnya, perkara tersebut menjadi skandal besar yang perlu disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak berkuasa.

“Saya telah menghubungi ICAC dan menjelaskan bahawa mereka perlu menjaga rahsia siasatan tersebut.

“ICAC juga memaklumkan terdapat mekanisme semakan semula siasatan melalui Jawatankuasa Semakan ICAC,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengarah Strategi PKR berkata, satu rombongan yang disertai wakil rakyat akan berkunjung ke Hong Kong Khamis ini bagi memulakan proses permohonan itu kepada jawatankuasa tersebut.

Katanya, objektif utama rombongan itu adalah untuk membentangkan fakta kes yang menyebabkan ICAC terpaksa menutup kes tersebut dan mengesahkan sama ada dakwaan bahawa pihak berkuasa Malaysia tidak memberi kerjasama, benar atau tidak.

“Selain itu, kami mahu ICAC membuka semula siasatan berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram terhadap tiga individu terbabit dengan mengambil kira perkembangan semasa termasuk penglibatan ahli keluarga Nazri menerima habuan daripada Micheal Chia,” katanya.

Menurut Rafizi, beliau akan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teja, Chang Lih Kang, Sim Tze Tzin (Adun Pantai Jerejak) dan Ahli Parlimen Selayang, William Leong berjumpa dengan badan bukan kerajaan (NGO), ahli politik dan media tempatan.

Beliau berkata, dalam sesi penerangan dan pertemuan itu, mereka akan bertemu ahli Majlis Perundangan Hong Kong bertujuan untuk mendapatkan kerjasama mereka berunding dengan jawatankuasa ICAC bagi menyemak semula kes itu.

No comments:

Post a Comment