Thursday, November 29, 2012

Royalti: Audit diminta semak akaun kerajaan pusat

Harakahdaily

Salmah Mat Husain, 29 Nov 2012
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan menghantar surat kepada Ketua Audit Negara meminta menyemak akaun-akaun kerajaan Persekutuan berkaitan pembayaran royalti petroleum kepada Kelantan dan Terengganu.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa berkata, di bawah Akta Tatacara Kewangan 1957 semua hasil-hasil kerajaan negeri dan Persekutuan mesti dimasukkan dalam akaun yang disatukan.

Katanya, hasil yang disatukan itu melibatkan cukai, hasil bukan cukai dan pendapatan bukan hasil.

Bagaimanapun sehingga kini kerajaan pusat yang menerima hasil daripada Petronas tidak memasukkan dalam akaun yang disatukan bagi negeri Kelantan dan Terengganu.

“Royalti lima peratus memang dimasukkan dalam akaun yang disatukan kerana ia diterima kerajaan Persekutuan

“Bagaimana pula wang ihsan dari dana kerajaan Persekutuan tidak dimasukkan dalam akaun wang yang disatukan,” ujarnya selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri semalam.

Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Petroleum Kelantan berkata, Tatacara Kewangan 1957 menjelaskan setiap perbelanjaan kerajaan Persekutuan walaupun satu sen mesti mendapat kelulusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara terlebih dahulu.

Beliau berkata, ia mesti dilakukan melalui pembentangan belanjawan atau belanjawan tambahan.

“Sebaliknya sepanjang wang ihsan dan dana Persekutuan diwujudkan tidak pula ada kelulusan dari Parlimen yang diperolehi.

“Jadi kerajaan Pusat melakukan satu kesalahan kerana tidak memasukkan wang ke dalam akaun yang disatukan,” katanya.

No comments:

Post a Comment