Harakahdaily
01 Nov 2012 |
KUALA LUMPUR:
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengucapkan syabas dan
tahniah kepada kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) yang telah bersetuju
menangguhkan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).
“Walaupun AES ini dibuat bagi bertujuan meningkatkan keberkesanan dan
kecekapan sistem penguatkuasaan serta mampu mengurangkan kemalangan
maut, namun ianya seolah-olah ingin mencari keuntungan dengan merompak
duit rakyat,” kata Ketua Penerangannya, Yusapiza Yaacob (gambar).
Bahkan, katanya kedudukan AES yang tidak munasabah dilihat bagaikan
ingin mencari kesalahan pemanduan rakyat dengan apa cara sekalipun.
Menruutnya, DPPWP melihat penangguhan perlaksanaan AES sebagai satu
pengajaran kepada pihak kerajaan Umno BN supaya berhenti dari
menyembelih tengkuk rakyat demi memenuhi poket kroni-kroni.
“Apakah kerajaan ingin mendidik rakyat atau memeras ugut rakyat
sendiri? Apakah kerajaan begitu terdesak kini untuk mendapatkan sumber
pendapatan sehingga sanggup memecahkan tabungan rakyat sendiri?” tanya
beliau dalam satu kenyataan.
Tambahnya, DPPWP juga bersetuju bahawa pemasangan AES seharusnya
mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa di peringkat kerajaan negeri
terlebih dahulu.
Katanya, tindakan penangguhan tersebut juga dilihat bertepatan memandangkan begitu ramai rakyat yang teraniaya dengan saman AES.
Beliau berkata, ia juga membuktikan betapa kerajaan negeri yang
ditadbir oleh Pakatan Rakyat begitu prihatin dengan keluhan setiap
rakyatnya yang kian dihimpit dengan pelbagai kos hidup yang kian
mencengkam saban hari.
Justeru, ujarnya DPPWP mencabar kerajaan negeri Umno BN supaya turut
menangguhkan perlaksanaan AES jika benar-benar prihatin terhadap
permasalahan rakyat.
“Janganlah kerana AES ini projek kroni maka rakyat sanggup dikorbankan,” katanya
No comments:
Post a Comment