Thursday, December 20, 2012

Ambiga: Pemerhati Bersih tidak memihak kepada parti politik

December 20, 2012

Ambiga Sreenavasan menambah penggunaan pemerhati ketika pilihan raya adalah amalan yang sudah lama diterima pakai. – Gambar fail
KUALA LUMPUR, 20 Dis – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menafikan dakwaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam kerana melabelkan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) tersebut sebagai “partisan”, sebaliknya menegaskan pemerhati pilihan raya mereka mengguna pakai standard pemerhati pilihan raya global yang turut menetapkan “tidak memihak kepada parti politik” sebagai salah satu pra syaratnya
Pengerusi bersama pergerakan berkenaan, Datuk Ambiga Sreenavasan menambah penggunaan pemerhati ketika pilihan raya adalah amalan yang sudah lama diterima pakai dan digunakan banyak negara termasuk Indonesia.
“Kami faham maksud mereka, yang mahu kami lebih tersusun dan tidak menganggu proses pilihan raya. Memang itu bukan niat kami,” kata Ambiga kepada The Malaysian Insider.

“Kami memberikan latihan kepada pemerhati kami dan mengguna pakai standard antarabangsa untuk pemerhati pilihan raya domestik,” katanya.
Standard yang dirujuk Ambiga adalah seperti termaktub di dalam Deklarasi Prinsip Antarabangsa bagi Pemerhati Pilihan Raya Bebas Politik dan Pemantauan Organisasi Awam dan Syarat Pelaksanaannya.
Deklarasi itu termaktub di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 3 April tahun ini oleh Global Network of Domestic Election Monitors, sebuah rangkaian antarabangsa yang menggabungkan 150 organisasi di seluruh dunia.

Di Malaysia, Bersih 2.0, Kesatuan Pengundi Malaysia (Malvu) dan Institut Demokrasi dan Integriti Pilihan Raya Kebangsaan (NIEI) menandatangani deklarasi tersebut.
Ambiga turut mengingatkan tentang tujuan menggunakan pemerhati rakyat bukanlah bagi memanipulasi keputusan pilihan raya akan tetapi menawarkan kepada rakyat Malaysia peluang untuk melindungi undi mereka.
Beliau menjelaskan sesiapa sahaja daripada orang ramai boleh mendaftar menjadi pemerhati, tanpa mengira pegangan politik mereka.

“Kami membuat tawaran terbuka ... sesiapa sahaja boleh mendaftar,” katanya.
Turut berkongsi pendapat sama, Maria Chin Abdullah, ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 berkata, menggalakkan rakyat Malaysia menjadi pemerhati bukanlah satu tindakan yang menunjukkan mereka cenderung kepada sesetengah parti politik.
“Kami mengajak orang ramai menentang penipuan yang berlaku. Itu hak mereka, lagi pun, untuk melihat undi mereka dilindungi ... bukan kami arahkan mereka untuk mengundi mana-mana pihak pun,” katanya.

Ambiga turut mengingatkan sebab utama disebalik inisiatif tersebut, yang dikenali sebagai kempen “Jom Pantau” datang dari kurangnya keyakinan Bersih 2.0 terhadap komitmen SPR untuk melaksanakan reformasi pilihan raya.

“Daripada menyerang kami, mereka seharusnya fokus membersihkan tingkah laku mereka untuk pilihan raya.
“Kenapa mereka seperti risau dengan pemerhati-pemerhati bebas kami,” soal beliau.
“Terus terang, saya ingin menyeru kepada setiap anggota SPR yang masih berdiam diri - kami akan memastikan setiap seorang daripada mereka bertanggungjawab tentang bagaimana pilihan raya akan datang dijalankan.

“Saya menggesa anggota pesuruhjaya SPR tanya diri mereka adakah ianya diterima untuk Malaysia dan adakah mereka menjalankan tugas mereka kepada rakyat,” katanya.
Semalam SPR mempersoalkan keupayaan Ambiga untuk memastikan semua ‘pemerhati rakyat’ dalam kumpulan pemantau Bersih 2.0 beliau mematuhi undang-undang dan mengelakkan gangguan kepada kerja badan penggendali pilihan raya itu. TMI

selengkapnya

No comments:

Post a Comment