Saturday, December 29, 2012

Anak Terengganu mahu serah memo tuntut Bertam PM307

Harakahdaily, 29 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Rakyat Terengganu di Kuala Lumpur akan menyerahkan memo tuntutan kepada Pengerusi Petronas bagi menuntut telaga minyak Bertam diserahkan kepada Terengganu.

Pengerusi 'Bertam Hok Ganukite', Dr Syed Azman Syed Ahmad (gambar) dalam kenyataannya berkata, memo itu akan diserahkan pada 4 Januari ini selepas solat Jumaat di Menara Kembar Petronas, KLCC.

Sehubungan itu, beliau yang juga Adun Batu Burok mengajak semua anak-anak Terengganu di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor agar bersama-sama dengan beliau menyerahkan memo tuntutan itu.

Mereka diajak untuk bersembahyang Jumaat di Masjid KLCC pada hari tersebut sebelum bersama-sama bergerak ke Pejabat Petronas di KLCC.

Satu sidang media juga akan diadakan selepas penyerahan memo tuntutan itu.

Telaga minyak yang baru ditemui, Bertam PM307 menjadi pertikaian apabila Perdana Menteri yang juga anggota Parlimen Pekan, Pahang Datuk Seri Najib Razak berkata, telaga minyak Bertam adalah berada di bawah perairan Pahang.

Sedangkan, di Dewan Undangan Negeri, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata syarikat cari gali minyak di kawasan berkenaan iaitu Lundin Oil yang mengesahkan tentang penemuan itu menyatakan ia berada di kawasan negeri ini (Terengganu).

Ekoran itu, berlaku pertikaian hak milik ke atas telaga minyak ini sehingga Sultan Pahang juga campur tangan.

Namun Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengambil sikap terbuka dalam hal ini.

"Kita tidak mahu Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan yang tidak tepat... kerana ini tidak sepatutnya berlaku dan memalukan negara," kata Tuan Ibrahim yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat dalam satu kenyataan dikeluarkan baru-baru ini

No comments:

Post a Comment