Sunday, December 23, 2012

Fuziah Salleh kata golongan muda bijak memilih dan tidak termakan dengan gula-gula yang ditawarkan BN

sinarharian
23 Disember 2012
Menjelang PRU 13
Menjelang PRU 13
SHAH ALAM - Pakatan Rakyat (PR) menyangkal kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa pengundi orang muda kini bersama dengan Barisan Nasional (BN) sedangkan belum bersedia untuk membubarkan Parlimen bagi mengadakan pilihan raya umum peringkat pusat.

Sehubungan itu, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, apa yang diperkatakan oleh Muhyiddin semalam bukan sesuatu yang baru, sebaliknya seringkali didengar.

Menurutnya, sejak tahun lepas Muhyiddin sering mengumumkan golongan muda telah mula menyokong kerajaan BN, namun keengganan pemerintah membubarkan Parlimen menggambarkan situasi sebaliknya.

Beliau juga berkata, kenyataan Muhyiddin semalam hanya bertujuan mahu meyakinkan rakyat dan juga parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

"Pengumuman ini selalu dibuat oleh Muhyiddin, kalau betul golongan muda memang telah memihak BN, kenapa Parlimen belum dibubarkan.

"Setiap parti akan bercakap begitu, kalau kita (pembangkang) melalui Himpunan Kebangkitan Rakyat tak lama lagi juga boleh kita katakan golongan muda ramai telah menyokong kita," katanya kepada Sinar Harian Online.

Dalam pada itu, dilaporkan sokongan pengundi muda, sebagai tunjang negara untuk mencapai  matlamat negara maju menjelang tahun 2020, kini dilihat sudah memihak kepada BN, kata Muhyiddin.

Beliau berkata, kesedaran pengundi muda terhadap kemampuan BN untuk kekal menerajui negara ini kini semakin kuat kerana mereka tahu hanya BN yang dapat memberi jaminan masa depan yang lebih baik kepada negara.

Mengulas lanjut, PKR turut menyatakan pengumuman Muhyiddin itu hanya sekadar mahu menyedapkan hati BN.

Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh berkata, sebanyak 25 peratus pengundi yang berumur 30 tahun telah mendaftar sebagai pengundi.

Fuziah berkata, golongan muda ini adalah penentu dalam menentukan kemenangan sesebuah parti dan calon.

"Saya yakin golongan muda cukup bijak memilih dan tidak termakan dengan gula-gula yang ditawarkan BN," katanya.

Beliau juga berkata, tinjauan dan kajian media memainkan peranan dalam mempengaruhi golongan muda untuk membuat pilihan.

Namun beliau berkata, golongan muda tidak lagi hanya merujuk kepada media arus perdana, sebaliknya mencari media alternatif dalam merujuk sesuatu perkara.

"Tinjauan saya dan survei dengan anak muda dari pelbagai latar belakang menunjukkan bahawa anak muda tidak terpengaruh dengan media arus perdana.

"Anak muda terdedah kepada media alternatif dan ada akses kepada sosial media seperti blog, Facebook dan Twitter dan mereka akan buat pertimbangan," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment