Sinar harian
PASIR GUDANG - Sebahagian besar bilik gerakan Umno cawangan di
sembilan kampung setinggan, dekat sini ditutup tanpa sebarang aktiviti
persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), meskipun tarikh
yang ditunggu itu semakin hampir.
Pengerusi Tetap Umno Bahagian Pasir Gudang, Abu Bakar Alibi berkata,
pihaknya tidak akan menjalankan sebarang kerja-kerja persediaan PRU13
kerana terlalu kecewa dengan tindakan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani
Othman yang masih gagal menunaikan janji pemberian hak milik tanah
kepada penduduk setinggan.
Menurutnya, pihaknya juga tidak akan bertanggungjawab dengan tindakan
pengundi yang boleh menjejaskan calon Barisan Nasional (BN) pada PRU13,
sekiranya janji yang ditaburkan sejak lebih 10 tahun lepas belum
dilunaskan.
“Apa sahaja tindakan pengundi dan apa sahaja yang bakal berlaku
kepada calon BN pada PRU13 nanti, kami selaku Ketua Umno Cawangan tidak
akan bertanggungjawab. “Sekarang sudah lima bilik gerakan ditutup, kami
difahamkan empat lagi bilik gerakan di kampung setinggan akan menyusul
tanpa sebarang persiapan berdepan PRU13,” katanya kepada Sinar Harian di
sini, semalam.
Sementara itu, Ketua Umno Cawangan Kampung Senibong, Yacob Sahadan,
68, berkata, isu pemilikan tanah itu diperjuangkan sejak 1999 bersama
lebih 400 penduduk, namun masih gagal menemui jalan penyelesaian.
Menurutnya, penduduk sehingga kini masih setia menuntut janji yang
ditaburkan sejak 13 tahun lalu yang disifatkan sebagai janji tinggal
janji.
“Masalah setinggan keseluruhannya melibatkan orang Melayu, jadi kami
bimbang kekecewaan ini boleh menjejaskan undi Melayu dalam PRU13 nanti.
“Kami tak tolak pembangunan yang dirancang kerajaan, tapi tolong jangan
sampai pinggirkan penduduk asal yang bersusah-payah meneroka tanah ini
selama ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Umno Cawangan Kampung Plentong Baru, Mohd Saleh
Arsad, 59, pula berkata, kepimpinan utama negara, Perdana Menteri dan
Timbalan Perdana Menteri sedang rancak menjelajah ke seluruh pelosok
kawasan melancarkan janji ditepati, namun malang bagi rakyat di Pasir
Gudang yang negerinya kononnya menjadi kubu kuat Umno masih menanti
janji yang belum pasti.
“Ini perkara yang pernah dijanjikan Menteri Besar, kalau tak janji
dan tak keluar dari mulut Menteri Mesar, kita pun tak memandai-mandai
nak menuntut. “Kami akan tunggu jawapan Menteri Besar, kalau masih
bermain teka-teki, kita rancang akan buat rombongan berjumpa Perdana
Menteri dalam masa terdekat,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Umno Cawangan Kampung Seri Makmur, Nordin
Kasri, 49, berkata, kekecewaan lebih 400 penduduk kawasannya jelas
ketara apabila janji pemberian tanah kurnia baru-baru ini telah
ditukarkan kepada tanah tol.
Menurutnya, Abdul Ghani berjanji selepas pengurniaan tanah di Kampung
Pasir Gudang Baru dan Masai akan menyusul ke Kampung Seri Makmur, namun
saat akhir telah ditukar pemberian kepada tanah tol.
“Kegembiraan penduduk menunggu janji lebih 10 tahun lepas telah
bertukar kecewa kerana tiba-tiba kerajaan nak bagi tanah tol yang
bersifat sementara dan boleh diambil kerajaan bila-bila masa sahaja.
“Surat rayuan tidak setuju penduduk telah dihantar, kita minta
selesaikan perkara ini segera kerana bilik gerakan PRU13 yang hambar
ketika ini tidak mustahil akan turut ditutup,” katanya. -
No comments:
Post a Comment