(Oleh Aedi Asri)
KUALA LUMPUR 4 Jan: RM100 juta akan disuntik dalam Tabung Kebajikan
Komoditi Negara yang akan ditubuhkan sebaik Pakatan Rakyat membentuk
Kerajaan Persekutuan baru, kata Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar
Ibrahim.
Ia merupakan skim jaringan sosial bagi membantu keluarga yang ekonominya bergantung kepada komoditi utama.
Tabung dalam bentuk pinjaman mudah, takaful perlindungan, bantuan
pendidikan dan sebagainya itu akan menampung pendapatan sebaik harga
komoditi utama jatuh ke bawah paras minima.
“Setakat ini, pentadbiran Najib Razak tidak pernah bentangkan
rancangan khusus membendung kejatuhan harga bagi mengurangkan beban
keluarga yang terkesan,” katanya pada kenyataan.
Anwar berkata, harga minyak sawit mentah susut 23 peratus dalam
setahun dengan purata RM2,477 per tan metrik (minggu pertama 2013)
berbanding RM3,225 bagi tempoh sama tahun lalu.
Begitu
juga dengan harga komoditi getah beku gred SMR CV RM9.61 per kilogram
bagi minggu pertama 2013, berbanding RM10.87 untuk tempoh sama tahun
lalu, berkadar penurunan sebanyak 12 peratus.
“Ini membawa kesan ekonomi buruk kepada sebahagian besar rakyat
Malaysia. Dianggarkan 112,000 keluarga melibatkan sejuta rakyat Malaysia
terlibat dengan Felda.
“Jumlah keluarga yang ekonominya bergantung pada komoditi getah
adalah 400,598 pada 2009 dengan anggaran dua juta orang,” sambung
beliau.
Anwar selanjutnya berkata, Pakatan akan menjalinkan sinergi pasaran
dengan Indonesia, negara pengeluar terbesar minyak sawit di dunia, bagi
berhadapan ketidaktentuan pasaran komoditi tersebut.
“Malaysia dan Indonesia membentuk 85 peratus pasaran. Sinergi ini
penting dan akan melaras harga. Ini bukan semata-mata cadangan saya,
bahkan industri kelapa sawit,” jelasnya lagi.
Kata Anwar, sebaik Pakatan mentadbir, satu jawatankuasa khusus
perundingan dipengerusikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid
Ibrahim bersama Pengerusi Biro Pelaburan dan Perdagangan KEADILAN, Wong
Chen ditubuhkan bagi menjamin kestabilan harga komoditi.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/
No comments:
Post a Comment