Sunday, January 27, 2013

Perdana Menteri Palestin mendoakan dapat menunaikan solat di Masjidil Aqsa bersama Ustaz Abdul Hadi - Subhanallah !

Harakahdaily

Khairul Azlam Mohamad, 27 Jan 2013
Ismail Haniyeh bergambar bersama delegasi Yayasan Amal Malaysia dan disertai Prof Dr Syeikh Shuhada Swerki pada pertemuan ringkas di Masjid  Al-Ghalbi, Gaza City.
 
GAZA: Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh merakamkan ucapan salam serta mendoakan agar pertemuan beliau dengan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang segera menjadi kenyataan pada suatu masa kelak.

Beliau turut menjemput dan mendoakan agar Ustaz Abdul Hadi segera sampai ke Gaza serta dapat menunaikan solat di Masjidil Aqsa bersamanya.

“Sampaikan salam saya dan seluruh rakyat di Gaza ini kepada Ustaz Abdul Hadi Awang dan kami menjemput, kami tunggu dan mendoakan beliau (Ustaz Hadi) dapat segera sampai ke Gaza ini.

“Insya Allah, dapat kita sembahyang bersama di Masjidil Aqsa,” ujarnya pada pertemuan singkat dengan rombongan Yayasan Amal Malaysia selepas solat Jumaat di Masjid  Al-Ghalbi, Gaza City, kelmarin.

Rombongan Amal Malaysia diketuai oleh Presidennya, Hussin Ismail dan wakil kerajaan negeri Selangor, Dr Abd. Rani Osman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru bersama 13 peserta termasuk wakil Harakahdaily ke Gaza.

Ismail Haniyeh turut merakamkan ucapan terima kasihnya kepada rombongan badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia terutama Yayasan Amal Malaysia yang banyak membantu umat Islam di Gaza, Palestin.

Sehubungan itu, Hussin menyifatkan delegasi Amal Malaysia ke Gaza berjaya menjalinkan hubungan dua hala untuk jangka masa panjang antara Malaysia dengan Palestin.

Katanya, peranan Amal Malaysia di Gaza bukan baru tetapi terjalin sejak sekian lama melalui hubungan politik PAS-Hamas sebelum terbentuk kerajaan di Palestin.

“Kita (Amal Malaysia) telah jalinkan hubungan baik ini bukan baru tetapi telah lama sebelum Hamas jadi kerajaan lagi. Hubungan PAS-Hamas sudah lama dalam politik dan perjuangan umat Islam.

“Kita telah laksanakan misi kemanusiaan dan membangunkan semula Gaza ketika perang dan selepas perang, Insya Allah,” ujarnya.

Menurutnya, sejak tahun 2009 Yayasan Amal Malaysia telah berjaya membangunkan sebanyak empat buah telaga tiub di Gaza.

Tambahnya, sebuah lagi telaga tiub tersebut sedang dibangunkan tetapi masih memerlukan tambahan kos yang belum mencukupi.

Hadir sama pada pertemuan tersebut seorang tokoh ulama' Gaza, Profesor Dr Syeikh Shuhada Swerki yang juga pensyarah Feqh Muqaran di Universiti Islamiyyah Gaza.

No comments:

Post a Comment