myMetro 2 Feb 2013
Seorang wanita warga asing nyaris putus telinga kiri akibat dilibas
menggunakan botol kaca minuman keras dalam kejadian di sebuah pusat
hiburan di pekan Donggongon, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa Josephine Lama
Larua Levatora, 42, berasal dari Papua New Guinea terpaksa menerima 30
jahitan di belakang telinga kiri hingga ke leher.
Lebih malang, anak
perempuan mangsa berusia 22 tahun yang cuba meleraikan pergaduhan turut
menerima tiga jahitan di dagu selepas ditikam menggunakan benda tajam
dipercayai serpihan botol kaca oleh suspek.
Menurut sumber, sebelum kejadian, mangsa bersama anaknya serta seorang rakan mengunjungi pusat hiburan berkenaan untuk minum sambil berkaraoke kira-kira jam 7.30 malam.
“Lebih kurang jam 11 malam, mangsa menuju ke kaunter untuk memesan
air suam, namun seorang pelanggan tidak dikenali terus menegur dan
mengatakan mangsa seorang pondan.
“Mangsa yang berang menegur tindakan suspek sebelum berlaku pertengkaran mulut antara mereka,” katanya di sini, kelmarin.
Sumber itu berkata, anak mangsa yang menyedari kejadian itu cuba meleraikan pergaduhan dan membawa ibunya ke meja mereka.
“Selepas itu, mangsa bersama anak serta rakannya menyambung semula
aktiviti mereka, tetapi tidak lama kemudian suspek datang ke meja
mangsa lalu terus memukul kepala wanita itu dengan botol kaca.
No comments:
Post a Comment