February 20, 2013
![](http://www.themalaysianinsider.com/images/uploads/2013/february2013/mukhriz0827.jpg)
Khabar angin tentang pencalonan Mukhriz sebagai calon menteri besar timbul beberapa tahun lalu. – Gambar fail
KUALA LUMPUR, 20 Feb – Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Umno Kedah berhati-hati dalam menyokong Datuk Mukhriz Mahathir sebagai
calon menteri besar jika parti tersebut memenangi negeri jelapang padi
itu dengan mengatakan pengalaman di peringkat pusat atau faktor
keturunan bukanlah jaminan kepada kejayaan.
Beberapa ADUN yang dihubungi The Malaysian Insider
mengatakan Mukriz tidak mempunyai kelebihan kerana beliau anak kepada
bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, atau sebagai timbalan
menteri perdagangan antarabangsa dan industri, sambil menegaskan
mentadbir negeri di utara tersebut berbeza dengan pentadbiran di
peringkat pusat.
“Status sebagai seorang anak mantan perdana menteri bukan sesuatu
jaminan kepada beliau,” kata ADUN Bukit Kayu Hitam Datuk Ahmad Zaini
Japar kepada The Malaysian Insider.
“Pengundi sekarang banyak mendapat maklumat dan mereka sudah bijak untuk membuat pilihan,” tambah beliau.
Selain Mukhriz, anak kepada bekas perdana menteri yang aktif
berpolitik adalah Datuk Seri Najib Razak dan sepupunya Datuk Seri
Hishammuddin Hussein.
Apabila ditanya sama ada Mukhriz yang juga timbalan pengerusi badan
perhubungan Umno Kedah mempunyai kredibiliti dan kemampuan untuk
memimpin Kedah jika BN kembali merampas negeri tersebut daripada PAS,
Ahmad Zaini berkata corak politik dan pentadbiran pusat dan negeri
adalah sesuatu yang berbeza.
“Tidak semestinya memegang jawatan di Pusat akan menjamin beliau
dapat mengendalikan pemerintahan negeri, corak kedua-duanya berbeza
sekali,” katanya.
Mukhriz menafikan semalam pencalonannya sebagai menteri besar Kedah,
mengatakan BN perlu memenangi negeri tersebut dalam PIlihan Raya 2013
sebelum membincangkan mengenai jawatan tersebut.
“Kita nak kena menang negeri itu dulu, kemudian baru cakap siapa yang
dilantik ... saya khuatir cakap-cakap ini macam tidak matang dan
berunsur spekulatif kerana tumpuan kami adalah untuk menangkan negeri
itu,” katanya sambil menambah BN mempunyai peluang cerah untuk merampas
kembali negeri jelapang padi itu.
Dalam pada itu, seorang lagi ADUN Guar Chempedak Datuk Ku Abdul
Rahman Ku Ismail tidak menyatakan secara terbuka membantah Mukhriz
sebagai calon menteri besar namun berpendapat perkara tersebut sebagai
pelik memandangkan secara tradisinya pengerusi perhubungan Umno negeri
dan pengerusi BN negeri kebiasaannya diangkat sebagai calon.
“Tapi, tidak tahulah jika Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib Razak
mahu membuat kejutan, keputusan muktamad masih ditangannya,” kata Ku
Abdul Rahman kepada The Malaysian Insider.
Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dipilih menggantikan bekas Menteri
Besar Datuk Seri Mahdzir Khalid sebagai pengerusi badan perhubungan Umno
Kedah selepas BN tumbang dalam Pilihan Raya 2008 dan Mukhriz dilantik
sebagai timbalan.
ADUN Kuah Datuk Nawawi Ahmad yang berada dalam jawatankuasa badan
perhubungan Umno Kedah mengatakan beliau mengambil sikap untuk tidak
memihak kepada mana-mana pihak, tetapi berkata ahli Umno setia kepada
Ahmad Bashah.
“Susah untuk komen saya sama ada siapa yang berkelayakan untuk
menjadi menteri besar. Kedua-duanya mempunyai kebolehan dan kemampuan
masing-masing, tapi apa penting ialah setia dengan kepimpinan sedia ada
dan pastikan Kedah dapat ditawan semula,” katanya.
Khabar angin tentang pencalonan Mukhriz sebagai calon menteri besar
timbul beberapa tahun lalu, dengan Dr Mahathir secara terbuka menyatakan
sokongan kepada anaknya jika tercalon.
Malahan kajian yang dilakukan oleh Universiti Utara Malaysia pada
Julai lalu terhadap 10,800 responden mendapati 69 peratus menyokong
Mukhriz sebagai menteri besar berbanding 12 peratus yang menyokong Ahmad
Bashah.
Sumber mengatakan kecenderungan kepada Mukhriz mungkin disebabkan
statusnya sebagai anak Dr Mahathir dan lebih berpendidikan berbanding
Ahmad Bashah.
Mereka juga memberitahu Mukhriz bakal bertanding di Ayer Hitam atau
Seputeh bagi kerusi DUN, dan untuk mengelakkan beliau tergelincir terus
daripada politik jika terdapat sabotaj, kerusi parlimen Jerlun juga
bakal dipertahankan.
Pada Pilihan Raya 2008, BN memenangi 14 daripada 36 kerusi negeri
manakala Pakatan Rakyat pula memenangi 22 kerusi dengan PAS menawan 16
daripada keseluruhan kerusi tersebut.
BN hanya memenangi empat daripada 15 kerusi parlimen di Kedah dalam
pilihan raya bersejarah tersebut yang menyaksikan gabungan pemerintah
tersebut kehilangan majoriti tradisi dua pertiga di parlimen.
Kedah memiliki seramai 1,025,930 pengundi seluruh kawasan DUN dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya pada November lepas. TMI
No comments:
Post a Comment