February 08, 2013
LABUAN, 8 Feb – Lebih 80 jenis elaun penjawat awam termasuk elaun
sara hidup akan dikaji semula bagi melihat kesamarataan, kesaksamaan dan
kemunasabahan, kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa
hari ini.
Beliau berkata kajian itu bagi memastikan kebajikan penjawat terus
terbela dan akan menjadi berita gembira yang bakal diumumkan oleh
Perdana Menteri.
Katanya pelbagai persoalan dan permintaan daripada kalangan penjawat
awam yang inginkan kemunasabahan termasuklah status gred, status
perjawatan kontrak, pelbagai elaun termasuklah perumahan dan tuntutan
perjalanan telah diajukan semenjak beliau dilantik memegang jawatan itu.
“Kesemua ini adalah termasuk daripada jumlah lebih daripada 80 jenis
elaun yang akan dikaji semula secara terperinci demi melihat
kesamarataan dalam sistem pemberian elaun. Bukan itu sahaja gaji yang
statik turut juga akan dikaji dan diberi perhatian,” katanya kepada
pemberita selepas majlis minum petang bersama ketua-ketua kampung dan
penduduk Kampung Sg Labu di sini hari ini.
Terdahulu beliau turut menjawab soalan dan kemusykilan penjawat awam
dalam satu sesi dialog pada Majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam.
Lebih 1,000 penjawat awam hadir pada majlis itu.
Ali berkata beliau berpuas hati dengan prestasi perkhidmatan penjawat
awam, namun mengingatkan mereka supaya tidak mudah berpuas hati tetapi
sentiasa berusaha membuat penambahbaikan dalam sistem penyampaian
perkhidmatan awam.
Katanya penjawat awam adalah pemelihara kepentingan awam dan sehubungan itu
perlu mematuhi semua undang-undang, peraturan, arahan atau prosedur
dan kegagalan berbuat demikian akan membolehkan tindakan tatatertib
diambil mengikut Peraturan Peraturan Awam 1993 ataupun Akta Rahsia Rasmi
1972.
Selain itu, katanya satu daripada elemen penting bagi menjamin
kemajuan perkhidmatan awam adalah hubungan baik dan saling memahami
antara majikan dan pekerja yang harus terus dipupuk.
“Konsep Masyarakat Penyayang perlu wujud...sikap prihatin ketua
jabatan (dengan pekerja bawahan) akan menimbulkan keseronokan bekerja
yang akhirnya meningkatkan kecekapan dan produktiviti perkhidmatan
awam,” katanya.
Beliau yang berkesempatan melawat beberapa projek pembangunan di
Labuan turut melahirkan kepuasan hati dengan kemajuan projek yang
menurut beliau akan memberi impak positif kepada rakyat.
Katanya penduduk Labuan amat bertuah kerana mendapat perhatian khusus
kerajaan dalam Belanjawan 2013 dengan pemberian diskaun 50 peratus bagi
tambang penumpang dan kenderaan komersial yang menggunakan perkhidmatan
feri.
Selain itu, katanya kerajaan juga akan melaksanakan projek 1,000 unit
rumah mampu milik dan empat projek dengan anggaran kos berjumlah
RM165.65 juta untuk mengukuhkan kedudukan Wilayah Persekutuan Labuan
sebagai hab minyak dan gas. – Bernama
banyak betul elaun penjawat awam. ada 80. jika satu elaun bernilai rm20 bermakna pa dapat elaun rm1600 sebulan... wakaka. Mana pernah diorang beri penerangan specific dan tepat. unsur wayang tidak pernah ketinggalan. yang pasti hanya tiga yang gua nampak, elaun khidmat awam, elaun rumah dan cola. selebihnya elaun apa sampai 80 jenis elaun.
ReplyDelete