Saturday, February 9, 2013

Musa Hassan Telah Berjumpa Anwar: Untuk Apa?

Kerengga 

Mohd Sayuti Omar
Ada maklumat bekas Ketua Polis Negara Musa Hassan telah menemui Anwar Ibrahim beberapa hari lepas. Musa sebelum ini telah menarik samannya terhadap Anwar berhubung satu laporan polis dibuat Anwar kononnya Musa telah melindungi fakta dalam siasatan ke atas satu kes membabitkan Ketua Umum PKR itu.
Penarikan balik saman oleh Musa tanpa atas kehendak bekas Timbalan Perdana Menteri itu sebaliknya atas kerelaan Musa menimbulkan pelbagai tanda tanya. Ada yang berpendapat Musa menyesal dengan perbuatannya terhadap Anwar semasa menjadi seorang pegawai polis yang penuh berkuasa dulu.

Tidak kurang juga ada yang beranggapan Musa telah menemui petunjuk baru dan ada juga yang menghitungkan penarikan balik saman itu kerana ada undang di sebalik batu.

Musa cuba telah menjelaskan ia adalah atas kerelaan dan bukan bermotif politik. Tetapi para pemerhati dan penganalisa berpolitik tetap beranggapan kerelaaan Musa untuk berbaik dengan Anwar itu tetap ada motifnya. Justeru Anwar diharap agar berwaspada dan tidak mudah tidur dalam perut Musa.

Berhubung pertemuan Musa dengan Anwar itu, saya difahamkan Musa dikatakan telah berbincang sesuatu yang agak menarik dengan Anwar dan dalam pertemuan itu Musa juga telah membuat pengakuan berhubung kes liwat yang didakwa ke atas Anwar sebagai satu daripada strategi politik.

Khabarnya, Anwar telah meminta Musa membuat kenyataan akhbar tentang pengakuan itu tetapi Musa enggan. Kenapa enggan? Sekiranya Musa ikhlas untuk berbaik dengan Anwar dan insaf atas apa-apa kezaliman yang dilakukan ke atas Anwar sebelum ini Musa tidak perlu malu-malu untuk membuat penjelasan kepada umum.

Disebabkan pertemuan dan perbincangan itu sudah berlaku, sudah pasti Anwar ada 'rancangan' ke atas pertemuan itu dan suatu hari beliau akan jelaskan juga melainkan keduanya ada persefahaman (kontrek) untuk tidak saling menjelaskan isi pertemuan itu.

Dalam perkembangan lain satu maklumat dari seorang bergelar Datuk yang ada pertalian dengan seorang Menteri Besar menyebut, ada usaha dipihak Umno untuk mempertemukan Anwar dengan Mahathir Mohamad. Pertemuan itu akan berlaku di luar negara. Apakah sikap 'tasamuh' yang ditunjukkan Musa anak Hassan itu ada kena menegan dengan rancangan ini?

Nota: sekali lagi diingatkan kepada Anwar agar jangan leka dan terlalu mempercayai kepada sesiapa yang pernah beliau anggap musuh dan menyusahkan hidupnya sebelum ini.

No comments:

Post a Comment