Sunday, March 24, 2013

Adun BN dicabar kemuka bukti pelabur tarik diri


Oleh Harakahdaily
Mar242013
 
KUALA LUMPUR:Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan dakwaan Adun Batang Kali, Datuk Isa Abu Kassim kononnya terdapat lebih 100 syarikat industri menarik diri dari Selangor ekoran masalah air.

Menurutnya, setakat ini hanya terdapat satu projek di Majlis Perbandaran Ampang Jaya yang masih tertangguh untuk mendapat perakuan dari Syabas atas alasan kekhuatiran tidak mencukupi air jika projek tersebut diteruskan.

"Manakala semua PBT (Pihak Bekuasa Tempatan) yang lain mengesahkan bahawa tidak terdapat sebarang projek pembangunan samada projek industi mahupun perumahan yang ditolak atau masih tertangguh akibat dari kekurangan air.

"Dakwaan Adun Batang Kali itu jelas mahu mencemar nama baik Negeri Selangor dan seluruh kakitangan awam negeri ini yang bekerja keras bagi memastikan Selangor kekal sebagai destinasi pelaburan nombor satu di Malaysia," katanya.

Kelmarin, Isa dilaporkan berkata, lebih 100 syarikat yang menyediakan hampir 25,000 peluang pekerjaan terpaksa menarik diri daripada melabur di Selangor, ekoran kemelut bekalan air di negeri itu.

Beliau juga mendakwa pemimpin kerajaan negeri Selangor bukan sahaja tidak mampu menyelesaikan kemelut air, tetapi cuba menutup kelemahan pentadbiran mereka.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Berkata, soal pelabur membatalkan hasrat melabur tidak timbul di negeri Selangor yang mencatat jumlah pelaburan tertinggi di negara in lebih-lebih lagi sejak Pakatan Rakyat mentadbir negeri.

Menurut  laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi 2012,  Negeri Selangor mencatatkan jumlah bilangan projek yang tertinggi dengan 252 projek iaitu sebanyak 31 peratus daripada keseluruhan projek yang diluluskan di Malaysia, merangkumi 156 projek baharu dengan nilai pelaburan berjumlah RM 8,144,722,179 dan sebanyak 96 projek pembesaran dan pelbagai dengan nilai pelaburan berjumlah RM 3,590,095,756

"Dengan statistik ini, saya menjemput YB Isa menyatakan dengan tepat industri-industri serta nama-nama syarikat yang dikatakan telah menarik diri dari melabur di Selangor akibat birokrasi kerajaan negeri dan permasalahan pembekalan air.

"Saya sebenarnya tidak mengharapkan Isa untuk berperanan dalam membantu menarik para pelabur ke negeri Selangor. Namun demikian selaku pemimpin masyarakat di negeri ini, saya tidak menyangka Isa boleh sanggup memburuk-burukkan negeri Selangor dengan tujuan menakut-nakutkan pelabur dari melabur ke negeri ini," katanya.

No comments:

Post a Comment