Siti
Aminah berkata dia bersama ahli Umno yg lain bekerjasama dengan Jabatan
Pendaftaran Negara (JPN) dan ketua kampung untuk mengeluarkan 500,000
IC biru kepada pendatang Filipina dan Indonesia pada 1990 ke 1994. PETALING
JAYA, 28 Feb – Bekas ahli Umno mendakwa kira-kira 500,000 kad
pengenalan biru (IC) diberikan kepada pendatang dari Filipina dan
Indonesia di Sabah sekitar awal 1990an atas arahan Ketua Umno Sabah
ketika itu,Tun Datu Mustapha Harun.
Siti Aminah Mahmud, yang bekerja secara sukarela di Pejabat Umno di
Kota Kinabalu hari ini berkata, Mustapha, yang menjawat jawatan ketua
menteri pada 1967 hingga 1975, berkata kepadanya, IC berkenaan diberikan
untuk menyingkirkan kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS).
“Datu Mustapha kata ini projek (Tun) Dr Mahathir (Mohamad). Jangan
takut kena tangkap,” kata Siti Aminah ketika sidang media di Ibu Pejabat
PKR di sini, merujuk kepada perbincangan Mustapha kepadanya dan juga
ahli Umno di Kota Kinabalu pada 1990.
“Datu Mustapha kata ia untuk meningkatkan pengundi Melayu untuk menjatuhkan PBS,” kata wanita berusia 62 tahun itu lagi.
Jelas Siti Aminah, dia bersama ahli Umno yg lain bekerjasama dengan
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan ketua kampung untuk mengeluarkan
500,000 IC biru kepada pendatang Filipina dan Indonesia pada 1990 ke
1994 di beberapa kawasan di Sabah, termasuk Tawau, Sandakan, Lahad Datu,
Kota Kinabalu, dan Semporna.
Tambahnya, dia ditahan di bawah Akta Dalam Negeri (ISA) pada 1995
hingga 1997 kerana didakwa mengeluarkan IC palsu dan memalsukan dokumen
JPN.
Pilihan Raya Negeri Sabah pada 1994 menyaksikan PBS hanya memenangi 25 daripada 48 kerusi Dewan Undangan Negeri.
Namun beberapa wakil rakyat PBS kemudiannya menyertai Barisan Nasional (BN) menyebabkan kerajaan itu tumbang.
Mustapha, yang merupakan pengasas parti United Sabah National
Organisation (USNO), dianggap sebagai parti bapa kemerdekaan Sabah
kerana rundingan berkenaan kebebasan negeri tersebut pada 1963, sebelum
meninggal dunia pada 1995 ketika berumur 76 tahun.
USNO menyertai Berjaya, diketuai bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri
Harris Salleh untuk membentuk Umno Sabah selepas PBS menewaskan Berjaya
pada 1990.
Dr Mahathir, perdana menteri paling lama berkhidmat sejak 1981 hingga
2003 dituduh menjadi dalang kepada skandal "Projek IC", yang mana
kerakyatan didakwa diberikan kepada pendatang asing untuk membolehkan
mereka mengundi.
Beliau pada sidang media bulan lalu mengakui pendatang di Sabah
diberikan kerakyatan, namun menegaskan ianya dilakukan mengikut "prinsip
undang-undang."
Harris, yang mentadbir negeri tersebut sejak 1976 hingga 1985
bagaimanapun membuat penafian ketika Inkuiri Suruhanjaya Diraja (RCI)
bagi menyiasat masalah pendatang asing di Sabah dalam "Projek IC".
Lebih sat suku daripada populasi di Sabah adalah pendatang asing,
sekitar 889,000 daripada 3.2 juta populasi keseluruhan di Sabah, atau 28
peratus, berdasarkan bancian pada 2010.
Sabah mempunyai 926,638 pengundi berdaftar, berdasarkan laporan akhbar The Star pada Jun lalu.
Siti Aminah berkata, satu no kad pengenalan akan dikeluarkan kepada 20 hingga 30 orang.
"Satu alamat digunakan 20 orang," katanya.
"Di satu-satu kawasan, akan ada ketua yang akan menghimpunkan orang
ramai. Bila kami tiba, kami akan dapatkan nama mereka. Kami tidak
bertanyakan agama mereka. Kami hanya melihat jika mereka mempunyai nama
Muslim. Jika tidak, kami akan menukarkannya, dan mengambil gambar serta
cap ibu jari kemudian menghantarnya ke pejabat Umno," tambahnya.
Kad pengenalan biru itu jelas Siti Aisyah akan diserahkan dalam tempoh sebulan dan dihantar dalam karung kepada ketua kampung.
"Kami akan mengarahkan ketua kampung,'Tok, arahkan penduduk kampung mengundi Umno," katanya.
Siti Aminah, yang kini merupakan ahli PKR berkata beliau tidak
mengetahui sekiranya pendatang berkenaan diberikan bayaran untuk IC
tersebut.
Pegawai atasan Cawangan Khas Supt Ahmad Fauzan Mohamad dalam
testimoninya di RCI minggu lalu berkata sindiket yang melibatkan
Pengarah JPN ketika itu mengaut sejumlah RM11 juta daripada penjualan IC
kepada pendatang terbabit.
Katanya lagi, tiada seorang pun daripada 94 individu berkenaan, yang
ditahan di bawah ISA bermula 1995 hingga 2001 kerana penglibatan mereka
dibicarakan di mahkamah.
Siti Aminah berkata lagi, dirinya masih belum dipanggil untuk memberi keterangan dalam RCI.
Beliau turut menegaskan nama Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar
Ibrahim, yang ketika itu timbalan perdana menteri tidak pernah disebut
dalam "Projek IC."
"Anwar menentang Datu Mustapha dan Megat Junid dalam Projek IC," katanya.
Siti Aminah berkata, menurut Mustapha, "Projek IC" di bawah Haris
diberikan kod "03" dan "04", manakala "05" ketika pemerintahan Dr
Mahathir. TMI
No comments:
Post a Comment