SU Agung BN Kajian Merdeka Center bukan bukti sokongan jatuh
sinarharian
28 Februari 2013
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor
KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Tengku
Adnan Tengku Mansor menyangkal dakwaan kononnya sokongan rakyat
terutama orang Melayu kepada kerajaan hari ini semakin merosot.
Katanya kaji selidik oleh Merdeka Center tidak semestinya memberi
gambaran yang tepat walaupun kemerosotan itu hanya mencatatkan penurunan
dua peratus sahaja daripada 63 peratus melalui kajian yang dibuat pada
awal Februari lepas.
"Kajian itu tidak semestinya tepat kerana kita mendapat respons yang
lain pula. Kita juga bergantung pada kajian kita dan kita mendapat
banyak petunjuk bahawa golongan anak muda sudah mula menyokong
kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pra pelancaran
Skuad BN sempena program Rakyat Bersatu, Negara Maju di Pusat Dagangan
Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Katanya pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada rakyat
Malaysia termasuk BR1M untuk orang bujang telah menyentuh hati rakyat
Malaysia.
"Rakyat gembira kerana kerajaan prihatin terhadap mereka," katanya.
Tengku Adnan berkata pembangkang mempermainkan emosi rakyat dengan menanam kebencian terhadap BN dan dasar kerajaan.
"Musuh kerajaan menggunakan pembohongan, fitnah untuk mengelirukan
orang ramai dan anak muda, pembangkang sebenarnya sangat bijak bermain
dengan psikologi," katanya.
Beliau berkata sebetulnya, rakyat dikelirukan oleh pembangkang yang
memberi gambaran bahawa golongan muda tidak menyokong kerajaan.
Beliau juga menyelar tanggapan bahawa 'perang media sosial' sebenarnya
dimenangi pembangkang yang dikatakan mempunyai lebih banyak laman blog
berbanding blog atau laman Facebook yang mempertahankan kerajaan.
"Sebenarnya dalam dunia maya, terdapat banyak laman sosial yang
mempertahankan kerajaan dan menjawab tuduhan dan fitnah pembangkang
tetapi kita ini tetap mencari laman pembangkang kerana semata-mata
memenuhi tuntutan emosi kita," katanya.
Mengenai penubuhan Skuad BN, yang merupakan satu pertubuhan bukan
kerajaan, beliau berkata ia dicetuskan hasil idea bekas ketua-ketua
pergerakan Pemuda Umno yang menjalankan kerjasama dengan Persatuan Warga
Kuala Lumpur dan Selangor.
Ia merupakan skuad untuk mewujudkan komuniti BN yang berani menunjukkan
sokongan mereka kepada kerajaan melalui pemakaian pelekat kenderaan dan
t-shirt.
Skuad ini akan dilancarkan secara rasmi minggu depan di Rapat Setia, Ipoh, Perak. - Bernama
No comments:
Post a Comment